Lagu yang mengisahkan perasaan seseorang saat kehilangan sesuatu yang dianggap sempurna ini ditulis oleh keempat-empat ahli kumpulan ini sendiri iaitu Iqie, Iskandar, Daniel, serta Gavin.
“Kami mula merakamkan lagu ini pada bulan September 2021. Ia merupakan projek ketiga kami bersama John dari JK Musicvibe selepas Pulang dan Reminisensi versi Reimagined.
Dari awal lagi kami sebenarnya sudah mempunyai gambaran yang jelas tentang bagaimana bunyi yang harus dihasilkan dalam SEMPURNA.
Namun kami menikmati proses pertukaran idea bersama penerbit kami Johan John sepanjang rakaman, yang juga banyak bersabar dengan permintaan kami sehingga menemukan titik kompromi untuk kami memberikan yang terbaik,” jelas mereka tentang projek terbaharu ini.
Mereka juga sependapat mengatakan lagu ini memang istimewa dari mula ia dicipta, sehingga mereka tidak sabar untuk melancarkannya.
“Dari detik susunan kord hingga proses memasukkan lirik, kami tahu kami telah menghasilkan sesuatu yang hebat,” tambah mereka lagi.
SEMPURNA turut hadir dengan sebuah video muzik luar biasa terbitan pihak Atypical Visual. Malah sedutan lagu ini di platform Instagram Reels sudahpun mencecah 50 ribu tontonan dan dijangka akan terus meningkat.
SEMPURNA kini menduduki tangga pertama carta RIM Malaysia selepas dua minggu dilancarkan.
“Kami sangat berpuas hati dengan hasil kerja kami kali ini dan harap para peminat juga akan menyukai apa yang telah kami usahakan,” akhiri mereka tentang SEMPURNA.
SEMPURNA kini boleh distrim di semua platform digital bermula 14 Februari 2022, dengan sebuah lirik video pada tarikh yang sama jam 9 malam di saluran YouTube mereka. Manakala muzik video rasmi lagu ini telah mula ditayangkan di saluran YouTube mereka pada tanggal 25 Februari 2022.