Peguam mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais memberitahu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membenarkan perintah injunksi berkuat kuasa sehingga 8 Jun dan atau sehingga kes inter-parte (kedua-dua pihak) didengar dan/atau diputuskan kelak.
Azmi berkata, perintah injunksi yang dibuat Syamsul sebelum ini bakal berakhir, esok.
“Kami sudah mendapat perintah melanjutkan injunksi dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi. Syamsul hadir ke mahkamah pagi tadi bersama saya.
– Azmi Mohd Rais
“Sebelum ini, injunksi hanya dibuat selama 30 hari. Jadi kami mohon untuk melanjutkannya sehingga 8 Jun dan, atau hingga diputuskan kelak.Â
“Pada 8 Jun nanti, peguam Puteri Sarah kena masukkan afidavit jawapan. Jadi, pada hari itu, hakim akan tengok lagi sekali perkara ini.
“Disebabkan perintah inilah, dalam tempoh sebulan ini, Puteri Sarah dilihat tidak memberikan apa-apa komen,”
Azmi berkata, perintah injunksi dibuat bagi menjaga ketenteraman kedua-dua pihak dan selain mengelak komen bersifat subjudis.
“Disebabkan kes nusyuz masih belum berlangsung, namun, macam-macam komen sudah keluar. Jadi, untuk mengelak komen berkaitan suami isteri ini keluar, kami mohon perkara ini di mahkamah,”
– Azmi Mohd Rais
Pagi tadi, mahkamah meluluskan permohonan Syamsul melanjutkan tempoh masa perintah ex-parte bertarikh 27 April berdasarkan Seksyen 238 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dengan pindaan kepada perintah ex-parte terbabit.
Mahkamah Tinggi Syariah antara lain memerintahkan Puteri Sarah dihalang, dilarang dan/atau ditegah bertindak mengeluarkan, memuat naik, menyiarkan, menulis, menerbitkan, menyebarkan, mengedarkan, menghebahkan, dan/atau menyalurkan apa-apa kenyataan, tulisan fitnah, maklumat, komen, gambar dan atau klip video di mana-mana laman media sosial, media cetak dan atau media elektronik.
Sumber: BH Online