in

Permohonan Nusyuz Aidil Rita Rudaini Dibatalkan

Permohonan Nusyuz Rita Rudaini Batal, Aidil Zafuan Terpaksa Tanggung Kos

Hasrat Aidil Zafuan Abd. Radzak yang mahu menuntut isterinya pelakon Rita Rudaini Mokhtar agar kembali taat (nusyuz) tidak menjadi selepas Mahkamah Rendah Syariah pada Rabu menerima permohonan Rita bagi membatalkan permohonan tersebut.

Malah lebih malang lagi Aidil yang juga pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu selaku plaintif diperintahkan untuk membayar segala kos mahkamah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat selepas meneliti kesilapan pada isu alamat pemastautin Aidil, 25, yang dikemukakan dalam permohonan tersebut yang difailkan pada 15 Mei lalu.

rita rudaini

“Selepas meneliti permohonan plaintif (Aidil) yang difailkan pada 15 Mei lalu, didapati pihaknya meletakkan alamat yang tidak lengkap terhadap permohonan kembali taat yang dikemukakan terhadap pihak defendan (Rita).

“Jadi, pihak mahkamah memutuskan bantahan awal yang difailkan defendan pada 3 Julai lalu diluluskan,” katanya pada prosiding yang diadakan pada Rabu.

Saharuddin, turut memaklumkan, peguam Aidil iaitu Ahmad Nazib Johari telah menarik diri daripada mewakili plaintif yang dibuat pada 30 Oktober lalu.

Sementara itu Rita, 35, yang berbaju hitam dengan tudung biru hadir ditemani Mohd Ihsan Mohd Daud mewakili peguam syarienya Datuk Mohd Zaidi Zain yang terpaksa menghadiri perbicaraan lain di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu, Kelantan.

Rita yang ditemui di luar mahkamah bersyukur apabila bantahan awal yang difailkannya diluluskan mahkamah dan akan meneruskan kes cerai yang masih lagi belum selesai.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila mahkamah tidak menangguhkan keputusan kes bantahan awal ini meskipun tanpa kehadiran dia (Aidil).

“Saya hanya ingin mempertahankan diri dan hak saya bersama anak-anak. Apabila sudah sampai di tahap ini (membawa kes ke mahkamah), maksudnya saya sudah mula berjuang dan tidak akan menoleh ke belakang.

“Selepas ini, peguam saya akan selesaikan status perhubungan kami pula. Tunggu sahaja nanti,” ujarnya.

Aidil pada Rabu tidak hadir ke mahkamah walaupun telah diberi peringatan semasa sebutan kes pada 3 Oktober lepas.

Aidil telah meninggalkan rumah kelaminnya di Sunway Damansara di sini kira-kira lima bulan lalu untuk tinggal berasingan di kediaman yang disediakan oleh pihak ATM di USJ Subang Jaya, di sini.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Pada Januari lalu Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika Rita bersama anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis. Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Tiz Zaqyah Bercuti di London Cinta Jangan Pergi

Nadia Buka Tudung & Seksi Hanya Salah Faham