Selamat pengantin baru buat Eizlan Yusof dan Vie Shantie. Melamar guna telefon sahaja. Itulah dia cinta zaman teknologi. Macam-macam medium perantaraan boleh digunakan. Dengan hanya calling-calling, Eizlan Yusof, dramatis berusia 36 tahun menyunting si manis Vie Shantie Haroon Khan, 21, untuk bersatu sebagai suami isteri.
Vie Shanti sangat jelita dan memiliki ciri-ciri wanita idaman di mata Eizlan. Hanya 100 hari berkenalan sudah cukup untuk Eizlan berkongsi kasih dan memilih 7 Julai 2007 untuk melangsungkan majlis pernikahan. Bagai merpati dua sejoli, kedua mempelai ini ironinya dilahirkan dalam bulan yang sama iaitu Eizlan pada 14 Julai, manakala Vie Shantie 26 Julai.
Vie Shantie berdarah kacukan Pakistan dan Arab di sebelah bapanya, Haroon Zarsad Khan, 58, manakala ibunya, Juliah Ahmad, 40, kacukan Bajau, Kadazandusun, Cina dan Brunei. Dengan sekali lafaz tepat jam 11.15 pagi Sabtu lalu di depan imam Masjid Negeri Sabah, Imran Anggun, Eizlan sah memperisterikan Vie Shantie yang berwalikan bapanya, Haroon Zarsad Khan di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Kingsfisher, Likas, Kota Kinabalu. Eizlan dan Vie Shanti berpakaian kuning keemasan sedondon.
Majlis pernikahan diadakan di atas pelamin tradisi masyarakat Bajau yang dihiasi kain berwarna-warni dikenali ‘lemba’ dan tikar bercorak atau ‘selisir’. Eizlan membawa mas kahwin RM300 berserta wang hantaran RM77,777.77. Pihak lelaki menghantar tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang pihak pengantin perempuan.
Hujan renyai membuatkan persandingan dalam taman di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu petang kelmarin terpaksa dipindah ke dewan, tetapi tetap meriah. Segak berpakaian tuksedo putih, manakala isterinya bergaun hijau dan putih, pasangan itu tiba jam 3.20 petang dan berakhir jam 7 malam.
Pengantin turut memotong kek tujuh tingkat pada akhir majlis persandingan.