Program realiti amal Bersamamu kini telahpun mencecah ke musim ke-13. Sejak disiarkan program ini tidak jemu-jemu memaparkan kisah segelintir masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan sama ada dari segi kewangan mahupun kesihatan bagi mendapatkan sedikit perhatian. Kemunculan program ini memberi sinar dan harapan baru kepada golongan ini agar masalah mereka dapat dibantu oleh pihak-pihak yang sewajarnya.
Sungguhpun program ini berhasrat untuk membantu mereka yang memerlukan, namun bantuan itu hanyalah sebagai pencetus untuk mengubah taraf kehidupan mereka. Mereka harus berdikari dan berusaha sendiri untuk mengecapi kehidupan yang lebih sempurna.
Apa yang membanggakan usaha Bersamamu ini menampakkan hasil apabila adanya perubahan yang memberangsangkan terhadap keluarga-keluarga ini. Bersamamu nyata dapat meringankan beban dalam memperbaiki kehidupan mereka.
Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang nanti, satu program khas ’Perjalanan Kami Bersamamu’ akan menemui penonton TV3. Program ini akan memaparkan perjalanan krew Bersamamu meninjau kembali keluarga yang pernah dipaparkan sebelum ini.
Ia juga turut memaparkan penceritaan suka-duka dua artis jemputan iaitu Rosyam Nor dan Nanu Baharuddin bersama Penerbit Eksekutif Mazlin Nordin semasa penggambaran Bersamamu suatu ketika dahulu. Sepanjang kembara ini, turut dipaparkan tentang perubahan yang berlaku terhadap keluarga-keluarga berkenaan serta persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri. Antara keluarga yang dikunjungi semula termasuklah keluarga Siti Rokiah dari Bachok Kelantan, keluarga Noraini Ismail dari Tumpat Kelantan, keluarga Maini Kudat dari Kuching Sarawak dan keluarga Serinang Subi dari Beranang Selangor.
Bagi memeriahkan Aidilfitri, rakaman sambutan Hari Raya bersama keluarga Bersamamu diadakan di rumah satu keluarga iaitu, Siti Aini Suip dan Mansor Isman di Kg. Jenjarom, Kuala Langat Selangor. Pada majlis ini krew bersamamu turut menyambut Aidilfitri bersama beberapa keluarga di sekitar Selangor, Pahang, N.Sembilan dan Terengganu. Kebanyakan keluarga yang dijemput adalah di kalangan keluarga dari musim pertama hingga ke 11. Rakaman sambutan hari raya ini akan disiarkan dalam ’Perjalanan Kami Bersamamu’ yang akan menemui penonton TV3 pada 5 Oktober 2008, jam 7.00 malam.
Pada majlis ini Bank Islam turut menyumbangkan wang zakat kepada 11 keluarga ini. Selain itu pihak Mamy Poko turut menyampaikan sumbangan berupa hamper diapers. Turut memeriahkan majlis adalah Dato’ Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Dato’ Zukri Samat, Pengarah Urusan Bank Islam dan Chong Fei Meng, Pengurus Jenama, Mamy Poko.
Program ‘Perjalanan Kami Bersamamu’ ditaja oleh Mamy Poko dan Bank Islam.
Program Bersamamu telah berjaya mengumpul kira-kira RM2 juta ringgit yang sebahagian besar daripadanya sudah pun diagihkan kepada keluarga Bersamamu pada musim-musim yang lepas. Setakat ini Bersamamu telah membantu lebih 150 keluarga yang memerlukan. Kutipan Tabung Bersamamu TV3 masih diteruskan untuk mendapat sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan keluarga Bersamamu pada musim-musim yang akan datang.
Selain daripada kutipan orang ramai yang diterima melalui Jom Heboh, orang ramai juga boleh menghantar sumbangan mereka kepada Maybank akaun Tabung TV3 Bersamamu BSM: 5643 2412 9973 yang dipantau oleh pemegang amanah TV3 iaitu Amanah Raya Berhad (ARB). Selain dari itu sumbangan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip Tabung2 / Tabung5 / Tabung10 dan hantarkan ke 33399.