Kebisaannya kita dipertontonkan dan dikongsikan dengan kisah pengorbanan seorang bergelar ibu yang sanggup berkorban apa sahaja untuk keluarga tersayang. Ciri-ciri penyayang seorang wanita itu dekat di hati setiap daripada kita yang bergelar anak dan suami.
Menonjolkan sisi berbeza tentang pengorbanan serta kesetiaan terhadap cinta dan sifat tanggungjawab yang dipikul seorang suami dan juga ayah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie bertajuk “Perahu Kecil” pada 29 September ini, pukul 9.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1.
Menampilkan pelakon utama yang dibawakan wataknya oleh Pekin Ibrahim, di samping Reen Rahim, Ku Faridah dan Fitri Norhadi, ceritanya berkisar tentang kehidupan Jamil yang sentiasa dibayangi dan begitu menyayangi wanita bernama Syikin. Begitu pun sebaliknya bagi Syikin yang acuh tak acuh melayan Jamil. Dia begitu gembira berpoya-poya dengan kehidupannya yang bebas melakukan apa sahaja.
Begitu pun satu hari Syikin secara tiba-tiba mengajak Jamil berkahwin dengannya. Jamil yang sememangnya menanti jawapan Syikin membalas cintanya terus bersetuju walaupun pada mulanya ditentang oleh ayah Syikin iaitu Tok Ketua. Tok Ketua dapat mengagak anaknya itu ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
Sebaliknya pula bagi Jamil. Dia gembira bila mengetahui yang Syikin mengandung dalam masa perkahwinan mereka yang singkat. Dia menganggap anak itu adalah rezeki dalam rumahtangga mereka.
Ketika itu Jamil tetap sabar walaupun Syikin berubah menjadi pemarah dan kurang ajar terhadap Jamil dan ibu mertuanya, Mak Leha. Jamil menganggap perubahan isterinya itu adalah perkara biasa bagi orang yang berbadan dua.
Selepas melahirkan anak lelaki diberi nama Hariz, Syikin bertindak meninggalkan Jamil tanpa sebarang sebab dan pesan. Jamil dan Mak Leha terkejut dengan kehilangan Syikin yang menghilangkan diri begitu sahaja. Namun apa yang membuatkan Jamil lagi terkejut dan kecewa setelah mengetahui yang status sebenar Hariz sebagai anak luar nikah.
Meskipun perit mahu menerima kenyataan yang berat itu, Jamil tetap positif. Dia beranggapan pasti ada hikmah di sebalik kejadian tersebut. Jamil mengambil keputusan berkorban dan membesarkan Hariz sendirian walaupun sedar itu bukan anaknya kandungnya.
Setelah 10 tahun berlalu, Syikin kembali. Dia mahu bertemu Jamil untuk menebus dosa juga memohon maaf kepada suaminya. Dia juga mahu melihat Hariz buat kali terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Apakah yang berlaku sebenarnya? Apa yang cuba disembunyikan Syikin daripada pengetahuan Jamil dan keluarganya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.