in

Peraduan Be A Fan ntv7

Berita Baik Buat Peminat Bola Sepak dan Pelapis Pengulas Sukan dalam peraduan “Be A Fan” ntv7

Adakah semangat gila bola membara di jiwa anda? Pernahkah hati anda terdetik untuk menjadi pengulas sukan untuk Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam perlawanan Euro 2012? Itu sememangnya bukan sesuatu yang mustahil kerana peraduan “Be A Fan” di ntv7 bakal menawarkan pemenangnya untuk beraksi di kaca televisyen dan berkongsi pengetahuan bola sepak mereka disambil berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Peraduan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang makan bola, tidur bola dan gila bola. Mereka yang berminat hendaklah hadir ke sebuah ujibakat yang diadakan Penganjur di tarikh dan lokasi yang berikut:
• 19 & 20 Mei, Dataran Pahlawan (Melaka)

• 26 & 27 Mei, East Coast Mall (Pahang)

Seramai tiga puluh peserta akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menyertai pusingan seterusnya secara tertutup di Sri Pentas, Bandar Utama. Hanya mereka yang terbaik akan dibawa ke Top 16 di mana mereka bakal sekali lagi bersaing merebut hadiah utama.

Para peserta berbakat ini harus menunjukkan bakat mengulas sukan mereka ketika perlawanan siaran langsung dan akan dirakamkan untuk disiarkan pada edisi ringkas di ntv7 pada pukul 10.30 malam selama 7 minit sejurus siaran tertunda yang ke udara pada pukul 8.30 malam. Kesemua 16 peserta akan mewakili dan mengulas untuk setiap negara yang bertanding dengan jumlah keseluruhan 31 perlawanan.

Video para peserta ini akan dimuat naik ke laman sesawang rasmi peraduan “Be A Fan” dan akan dibuka untuk undian orang ramai. 8 peserta dengan undian tertinggi akan meneruskan saingan mereka untuk ulasan perlawanan suku akhir. 4 peserta akan disingkirkan pada peringkat separuh akhir dan hanya 2 finalis akan berjaya ke pusingan perlawanan akhir.

Pemenang peraduan “Be A Fan” akan mendapat hadiah tunai RM 10,000 dan naib juara pula bakal menerima RM 3,000. Manakala pemenang tempat ke-3 dan ke-4 masing-masing akan mebawa pulang hadiah tunai sebanyak RM 1,000 untuk setiap seorang.

Peraduan ini dibawakan kepada orang ramai oleh Maxis sebagai penaja utama dengan kerjasama Media Prima Berhad untuk Euro 2012. Perlawanan siaran langsung dan tertunda akan disiarkan oleh TV3 dan ntv7 apabila ianya bermula 8 Jun ini.

Ini termasuklah 16 perlawanan siaran langsung, acara pembukaan, suku akhir, separuh akhir dan pusingan akhir. TV3 berperanan untuk mengendalikan siaran langsung perlawanan bola sepak tersebut manakala ntv7 akan menyiarkan siaran tertunda setiap hari pada jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam.

Peminat bola sepak juga boleh menonton kesemua 16 perlawanan melalui portal Tonton di www.tonton.com.my serta menonton semula aksi perlawanan pasukan pilihan mereka menerusi portal yang sama pada bila-bila masa.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan ini, layari www.ntv7.com.my, atau ikuti perkembangan ntv7 menerusi Facebook dan Twitter.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program TV3 Diiktiraf Di Anugerah Media 2012

Cornetto Uda & Dara