SESI PENYINGKIRAN PERTAMA UNTUK MUSIM INI
[dropcap]C[/dropcap]abaran sudah bermula! Namun begitu setiap finalis harus berdepan dengan sesi penyingkiran yang pertama untuk musim ini. Siapakah di antara 12 finalis Da’i musim ini yang bakal meninggalkan program Da’i buat selama-lamanya? Atau finalis akan diselamatkan dengan tiada penyingkiran?
Program 13 episod ini telah pun memasuki minggu ketiga di mana di sini bermulanya cabaran serta tugasan yang perlu dilaksanakan oleh setiap finalis lelaki dan wanita. Pada minggu ini, cabaran getir menanti 12 finalis Da’i apabila mereka dipecahkan kepada dua buah kumpulan di mana setiap kumpulan ditugaskan untuk mengadakan satu program yang bersesuaian untuk mengimarahkan masjid. Dua buah masjid yang terpilih adalah Masjid Kota Damansara dan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail. Setiap kumpulan juga diberikan dana sebanyak RM200 untuk menjalankan program yang dirancang.
Di samping itu, cabaran sebagai seorang pendakwah milenia pada minggu ini turut memberi peluang kepada 12 finalis Da’i untuk belajar berinteraksi dengan masyarakat sekeliling dari pelbagai lapisan umur. Seperti sedia maklum, tugas sebagai seorang pendakwah milenia tidak semudah yang disangka. Pendakwah pada masa kini harus bijak berinteraksi dengan masyarakat umum yang hidup serba moden dalam menyampaikan dakwah selain mempunyai pelbagai idea menarik untuk dikongsi bersama.
Sesi tugasan minggu ini sesungguhnya mempamerkan pelbagai aksi dan cara persembahan oleh 12 finalis Da’i. Kebanyakan daripada mereka walaupun masih baru, namun kesemua finalis tidak gentar berhadapan dengan tugasan yang diberikan. Menerusi tugasan yang diberikan ini, kelemahan serta kekuatan setiap kumpulan akan dikenalpasti dan ini akan dinilai oleh pihak juri.
Aspek penilaian bagi setiap kumpulan akan dilihat dari pelbagai aspek termasuklah pengurusan, kepimpinan serta penglibatan masyarakat setempat. Sementara itu bagi membantu proses penilaian bagi tugasan minggu ini, panel jemputan iaitu Sheikh Abdul Karim Fatani Al Makki (Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam) akan turun ke lokasi tugasan untuk membuat penilaian awal sebelum penilaian akhir dilakukan oleh juri tetap.
Penerbit Da’i, Shukri Hj Ibrahim berkata, “Kesemua finalis Da’i telah pun selesai menjalankan tugasan yang diberikan pada minggu ini maka hari ini tibalah masanya untuk menilai prestasi setiap finalis. Kesemua finalis dibahagikan kepada dua kumpulan dan kumpulan yang tewas di cabaran tugasan akan berdepan dengan proses penyingkiran. Meskipun proses penyingkiran pertama di adakan pada episod ketiga ini, namun kesemua finalis diberi peluang untuk meneruskan perjuangan mereka di dalam Da’i bagi minggu hadapan.”
“Bagi cabaran tugasan yang diberikan pada minggu ini, keberhasilan program yang dilakukan oleh dua kumpulan ini secara tidak langsung memberi pendedahan serta manfaat kepada masyarakat di luar sana mengenai pengisian yang ingin disampaikan. Di sini program Da’i akan dilihat bukan sahaja program realiti yang mengetengahkan golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah semata-mata malah ia adalah sebuah program ilimiah untuk orang di luar sana,” tambah Shukri Hj Ibrahim.
Da’i menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin sebagai pengacara program untuk musim ini. Sementara itu, beliau turut ditemani dua rakan seperjuangan iaitu Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang bertindak mengendalikan segmen khas mingguan. Manakala panel juri tetap pula menampilkan salah satu ikon pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail bersama Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie yang bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan berdasarkan tugasan yang diberikan.
Juara Da’i bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50, 000. Siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara sulung program Da’i? Ikuti program realiti Da’i yang disiarkan secara langsung dari Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam pada setiap hari Sabtu jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan Da’I boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.