Namun situasi yang lebih mencabar dilalui watak Datin Sally yang menggalas jawatan pengetua sekolah menengah bila anaknya sendiri yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah. Ayahnya, Datuk Juin telah dipanggil ke sekolah dan menerima laporan dari pengetua serta guru disiplin bahawa Didi membawa telefon bimbit dan bermain C.O.C di sekolah.
Didi mengarahkan agar dua orang pembantu rumah menyiapkan segala kerja sekolahnya. Datin Sally risau memikirkan kenakalan anaknya dan berbincang dengan suaminya, Datuk Juin.
Penyesalan Pelajar Nakal Dalam Drama Bersiri CERDIK OTAK CERGAS Cuti Sekolah Ini di TV1
Kisah kekeluargaan ini dikongsi Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama bersiri bertajuk “Cerdik Otak Cergas†mulai 5 Disember ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 2.30 petang menerusi saluran TV1. Drama 7 episod ini mengetengahkan pelakon Rodih Madun, Esther Clement Tubong, Tony Miekeel, Hafiz Satius dan Clarice John Matha.
Episod bermula tentang watak Didi, seorang pelajar yang nakal di sekolah menengah yang sering membawa masalah kepada guru disiplin. Dia sering bergaduh dengan pelajar lain di sekolah dan dibawa berjumpa dengan pengetua sekolah iaitu Datin Sally, ibu Didi sendiri.
Ayah Didi berkongsi kisah kanak-kanaknya dengan Didi dan menyatakan yang Didi bertuah kerana memiliki kemewahan berbanding zaman ayahnya ketika kanak-kanak yang serba kekurangan. Ketika Didi berada di meja luar rumah, tiba-tiba cahaya seperti kilat menyambar tubuh beliau.
Didi terkejut apabila beliau terjatuh ke dalam sebuah kolam dan bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Agang. Agang membawa Didi pulang ke rumahnya setelah mendapati Didi terpisah dari keluarganya. Didi terkejut melihat rumah Agang yang kecil tanpa bekalan elektrik serta tidak mempunyai katil dan tilam.
Sementara itu, ayah dan ibu Didi kecoh dengan kehilangan Didi dari rumah setelah disambar kilat. Keesokan hari, Didi mengikut Agang ke sekolah dan beliau terkejut apabila Agang hanya berjalan kaki ke sekolah. Didi mengadu keletihan kerana bagi beliau jarak ke sekolah Agang sememangnya jauh. Agang merupakan pelajar yang cemerlang, berdisiplin dan rajin membantu.
Agang yang mendapat upah membantu di kantin sekolah telah memberi 20 sen kepada Didi yang juga membantu. Didi mengejeknya kerana nilai 20 sen adalah terlalu kecil bagi Didi sebagai anak orang kaya.
Agang dan Didi ditahan oleh kanak-kanak nakal yang mengajak Agang bertumbuk namun Agang segera melarikan diri. Didi membantah tindakan Agang kerana dia sememangnya suka bergaduh. Agang kemudiannya mengajak Didi masuk hutan untuk mencari bekalan kayu api. Didi tiba-tiba terkejut apabila melihat tarikh surat khabar di rumah Agang.
Rupa-rupanya beliau berada pada zaman 35 tahun lampau yang membuatkan dirinya bingung. Didi mula terasa rindu pada keluarganya dan seolah-olah menyesal dengan perbuatannya dahulu.
Hal yang sama berlaku pada ayah dan ibu Didi yang sedih dengan kehilangan Didi. Sudah puas mereka mencari Didi namun masih belum bertemu dengannya.
Fikiran Didi semakin kusut memikirkan situasi semasa apatah lagi beliau mendapat tahu nama Agang hanyalah sekadar nama panggilan sahaja. Nama sebenar Agang ialah Juin bin Aman, sama seperti nama ayah Didi. Akhirnya Didi faham yang beliau berada pada zaman ayahnya ketika kanak-kanak, dan Agang merupakan ayahnya. Dalam perjalanan pulang, Agang dan Didi dihalang oleh kanak-kanak nakal. Muncul seorang budak perempuan bernama Sally, menghalau kanak-kanak nakal tersebut.
Ibu Juin terkenang kisah lampau bersama Juin dan Juin mengesahkan kanak-kanak yang pernah bersama mereka 35 tahun dahulu adalah Didi. Ibu Juin memujuk Datin Sally yang sedang mengalami tekanan bahawa Didi akan pulang ke pangkuan mereka nanti.
Didi bertanyakan parut yang ada di belakang badan Agang dan beliau menceritakan bahawa ayahnya mempunyai tanda parut yang serupa. Setelah mendapat penjelasan dari ibu Agang, ternyata parut tersebut mempunyai cerita yang sama. Terdetik di hati Agang yang Didi merupakan anaknya yang muncul dari masa hadapan.
Lalu apakah yang berlaku seterusnya? Dapatkah Didi kembali ke masa kini dan menemui keluarganya semula? Ikuti kesudahannya dalam drama bersiri arahan Tony Francis Gitom ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.