in

Penyanyi Yassin Ada Masalah Tekanan Emosi

PENYANYI dan komposer lagu irama nasyid terkenal, Muhammad Yassin Sulaiman atau Yassin, 33, kini telah pulih daripada tekanan emosi setelah dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hal ini disahkan oleh isterinya, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain atau Eena yang memaklumkan Yassin telah keluar dari hospital dan sudah kembali melakukan kerjanya yang tertangguh sebelum ini.

Sebelum ini, Yassin dikhabarkan telah jatuh sakit akibat terlalu sibuk dengan kerja.

Bagaimanapun, Eena enggan memberikan komen lanjut mengenai sebab-musabab, bila dan di mana suaminya berada sebelum ini.

“Dia dah ‘ok’ selepas keluar dari hospital. Situasi yang dia hadapi merupakan sebahagian daripada hidupnya. Ada hari kita ‘ok’, dan ada hari kita tak ‘ok’. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Saya tak nak komen pasal tu,” kata bekas wartawan hiburan New Straits Times ini.

Jelasnya, jika orang bertanyakan tentang Yassin, dia hanya mampu menjawab, “Apa seorang isteri patut buat… Saya tak nak cerita apa-apa lagi. Biar dia yang buat kenyataan nanti pasal sakit apa, bila dia masuk hospital..biar dia jawab kemudian. Sekarang, dia sedang menyiapkan kerja yang dia dah janji dengan orang untuk siapkan sebelum ini. Jadi, dia kena tepati janji. Lepas tu biar dia rehat sikit dan selepas itu baru dia akan bersedia untuk menjawab soalan daripada pihak media,” ulas ibu kepada dua orang anak – Sameer, 5 dan Malaika, 1.

Sejak Yassin dimasukkan ke dalam hospital, berita itu masih menjadi ‘misteri’ dikalangan para pengikut industri tempatan. Sehingga baru-baru ini ada telahan yang mendakwa Yassin terlibat dengan dadah sehingga dimasukkan ke wad psikiatri. Bagaimanapun, Eena hanya tergelak apabila mendengar cerita tersebut.

“Cerita itu merupakan perkara baru dan pertama kali saya dengar. Tapi cerita pasal dadah tu tak betul. Ia hanya spekulasi dan merepek. Dia boleh duduk dan terangkan tentang semua perkara termasuk pelbagai spekulasi nanti,” jawab Eena yang turut bertindak selaku pengurus Yassin.

Eena yang menguruskan kerjaya suaminya sebagai penyanyi dan komposer lagu-lagu berentak ‘world music’. Terbaru, Yassin tampil dengan album Arus Qudus yang memuatkan lagu Arus Qudus, Kau Yang Mengetahui dan Bismillah. Selain menggubah lagu untuk albumnya, Yassin turut mencipta lagu untuk penyanyi Bienda dan Akhbar.

Yassin juga pernah berlakon dalam tiga buah filem iaitu Syukur 21, No Problem dan Mendam Berahi. Sebelum ini, Yassin pernah mengaku menghidapi krisis identiti ketika mula-mula bergerak secara solo dalam nyanyian (2001 hingga 2005). Sebelum itu Yassin pernah menyertai kumpulan nasyid Brothers.

“Ia bukanlah sesuatu yang asing sebab penyakit ini sebenarnya sudah mula menyerang manusia sejak zaman dahulu lagi cuma orang ramai tidak begitu arif dan tidak ambil peduli. Kenyataannya, lebih 80 peratus jumlah manusia di muka bumi ini melalui masalah yang sama ketika meningkat dewasa,” katanya yang dipetik dari sebuah akhbar perdana. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV3 Menghentikan Siaran 24 Jam Mulai 1 Julai

Majlis Sidang Media & Pra Pelancaran Celeb Nexus Komuniti Premium