Bangun pagi hari ini, Ahad, Budiey telah menerima mesej perkhabaran duka dari Abang Lan, seorang PR otai.
Abang Lan menyampaikan berita penyanyi popular 90an yang dahulunya merupakan bekas vokalis kumpulan Iklim bernama Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed telah meninggal dunia di usia 56 tahun pada jam 6.15 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Al-Fatihah.
Jenazah Saleem ketika ini masih berada di hospital dan akan dibawa ke Surau As- Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras untuk disembahyangkan.
Kemudian, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara.
Selepas 22 Hari Berada Dalam Keadaan Kritikal
Dipetik dari berita yang disiarkan di Berita Harian yang telah menemubual anak bongsu Saleem, Muhammad Amirul Mukmin, berkata arwah bapanya berada dalam keadaan kritikal sejak semalam.
“Akibat hentakan kuat ketika kemalangan, otaknya bengkak, sekali gus menyukarkan penafasannya.
“Selepas koma hampir dua minggu, arwah mula sedar, tetapi keadaannya semakin lemah.
“Walaupun kelihatan ceria, kami nampak banyak perubahan pada arwah terutama apabila bibirnya berubah pucat.
“Doktor mengambil keputusan menidurkannya kerana arwah mengadu mengalami sakit kepala yang amat sangat apabila sedar,”
Amirul berkata, doktor menghubungi keluarganya jam 5.30 pagi tadi selepas keadaan bapanya semakin kritikal.
“Arwah terpaksa diberikan bantuan kecemasan, tetapi menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 pagi.
“Kami reda dengan pemergian arwah kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas melihat keadaannya yang semakin kritikal.”
Hidup dan mati adalah ketentuan dan takdir yang ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Kita sebagai makhluk ciptaannya harus menerima dengan redha dan tawakkal.
Berita Sahih Dilaporkan oleh Anak Saleem di Facebook
Anak lelaki Saleem yang kini bergelar penyanyi, Syafiq Farhain turut menyiarkan sekeping gambar kenangan bersama ayahnya di Instagram.
“Abah dalam kenangan. Mungkin ini sahaja yang tinggal untuk dikongsi.”
Sebak pula Budiey lihat gambar dan caption yang ditulis oleh Syafiq. Banyak sekali komen berupa ucapan salam takziah dikirim oleh para pengikut Syafiq Farhain di ruangan komentar di Instagram. Semoga Syafiq tabah menghadapi kehilangan ini.
Berita ini disahkan sendiri oleh anak Saleem iaitu Iera Fakhira, 29 tahun di Facebook milik beliau.
Berita Kemalangan Saleem
Sebelum ini, berita palsu kematian Saleem pernah dilaporkan oleh media massa. Berita ini dikecam oleh Seniman dan keluarga Saleem yang menganggap berita palsu ini satu tindakan yang tak bertanggungjawab.
Pada 21 September 2018 lalu, Saleem dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan di tulang rusuk selepas terbabit dalam kemalangan motosikal dengan sebuah kereta di Kilometre Lebuhraya Grand Saga berhampiran Taman Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur. Motosikal yang dinaiki penyanyi Suci Dalam Debu itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menyebabkan dirinya tercampak.
Saleem dimasukkan ke Hospital Kajang selepas parah apabila 12 tulang rusuknya patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
Isteri Saleem, Juriah Bachok, berkata keadaan Saleem parah, malah hanya sedar sebanyak dua kali. Kemudian, Saleem dipindahkan ke Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Nurluqman Hakim, 30; Nurul Hidayah, 28; Nurfahmie Jufrie, 26; Nur Syafiq Farhain, 24; dan NurulAzwanie Shuhada, 18; serta Mohd Amirul Mukmin, 15, hasil perkahwinan bersama Julia Bachok.
Semoga ruhnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Sumber: Abang Lan & Berita Harian