Penyanyi reggae popular era 1990-an, Poe atau nama sebenar, Mohd Fauzi Ahmad, 64 meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengahari tadi. Isterinya, Nor Aishah Zakaria, 54, memberitahu, arwah mengalami masalah jantung dan pelbagai komplikasi lain sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit tersebut.
“Doktor bagi kebenaran untuk pulang berehat di rumah selepas lima hari di hospital. Namun selepas keluar hospital, arwah tak ada selera makan dan susah nak tidur.
– Nor Aishah Zakaria
Allahyarham dimasukkan di Hospital Selayang pada minggu lalu kerana masalah yang sama, sebelum dibenarkan pulang ke rumah selepas lima hari mendapat rawatan.
“Kelmarin arwah keluar dari Hospital Selayang selepas dimasukkan seminggu lalu. Ketika dibenarkan pulang, arwah masih belum sihat sepenuhnya.
“Selepas melihat keadaan kesihatan semakin merosot, kami bawa arwah ke HKL. Arwah ada beritahu, dia rasa seolah-olah hayatnya tidak lama.
“Tetapi kami tidak mengambil serius perkara itu. Tidak sangka pula itu petanda dia mahu meninggalkan kami semua,”
– Nor Aishah Zakaria
Nor Aishah berkata, urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, sedang diatur.
“Semua urusan diselesaikan di HKL dan arwah akan dikebumikan secepat mungkin,” katanya.
“Sepatutnya semalam arwah ada temujanji dengan doktor, tetapi disebabkan keadaan dia yang lemah, tak jadi pergi.
“Bila tengok kaki dan tangannya semakin membengkak, saya terus hubungi ambulan untuk dibawa ke hospital. Ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri,”
– Nor Aishah Zakaria
Nor Aisyah turut memaklumkan jenazah arwah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak petang ini.
Menerusi perkahwinan bersama Nor Aisyah, Allahyarham dikurniakan lima anak (seorang meninggal dunia).
Hantaran Pyanhabib Rahman
Dalam perkembangan berkaitan, penyair Pyanhabib Rahman membuat hantaran mengenai pemergian Poe, berkata allahyarham seorang kawan yang sudah dikenalinya sejak tahun 1970an.
Menurut Pyanhabib “Poe asalnya pelukis kartun. Poe seorang yang humour, kartun-kartunnya humour. Stroknya cantik.”
“Berpuluh tahun, Poe adalah pemuzik reggae,” katanya.
Jelas Pyanhabib lagi, ketika kali terakhir bertemu penyanyi itu, Poe sedikit uzur.
“Hari ini, Allah mengambil dia di Jumaat yang mulia,” katanya lagi.
Ketika aktif dalam dalam industri muzik, Allahyarham pernah menganggotai kumpulan Rampa bersama rakan baiknya, Zainal dan cukup dikenali dengan lagu-lagu berunsurkan komedi.
Dua tahun lalu, Poe pernah dimasukkan ke hospital berikutan masalah paru-paru berair dan jantung bengkak.
Allahyarham yang terkenal dengan imej rasta ini pernah menganggotai kumpulan duo, Rampa bersama Zainal.
Antara lagu popularnya adalah Jelaskan dan Ala Lala Tok (Jangan Saman).