PROGRAM realiti MY Starz LG siaran TV3 nampaknya sudah pun bermula siarannya. Sedikit masa lagi, makin kuranglah pesertanya. Maklumlah, dalam mana-mana program realiti, elemen penyingkiran tu kan penting? Kalau boleh, mereka mesti hendak singkir sebanyak yang boleh untuk menarik penonton mengikutinya sampai ke akhir.
Ha, cerita Cik Normah yang ini pun fasal singkir juga. Khabarnya, ketika sesi uji bakat program ini diadakan, seorang artis lelaki yang pernah menyertai program realiti lain turut hadir untuk mencuba nasib. Sebagaimana peserta lain, apabila tiba gilirannya, dia pun masuklah ke bilik uji bakat untuk menyanyi di depan juri.
Bagaimanapun, sebaik saja dia habis menyanyi, seorang juri secara terang-terangan mengaku tidak sukakan suara artis lelaki ini. Apa lagi, sakit hati jugalah artis itu mendengar komen sebegitu. Khabarnya, dia agak marah dengan juri terbabit. Khabarnya juga dia memberitahu juri tadi, dia datang uji bakat pun secara suka-suka saja, sebab dia masih lagi terikat dengan sebuah syarikat rakaman yang boleh tahan gahnya.
Laaa… Kalau tidak serius, buat apa datang uji bakat? Agaknya, artis yang pernah mempunyai album ini hendak menutup malu sendiri sebab tidak terpilih ke peringkat seterusnya. Jadi, dia pun mulalah buat alasan bukan-bukan, demi menjaga maruah.
Cik Normah dengar cerita, sebelum My Starz LG, artis ini juga pernah mencuba nasib dalam pertandingan One In A Million musim ketiga. Sah-sah dia turut gagal pada uji bakat program berkenaan. Kalau tidak, tentulah dia sama-sama bersaing dengan Tomok pada pertandingan itu, baru-baru ini.
Entahlah, Cik Normah pun naik hairan mengenangkan nasib penyanyi ini. Bernaung di syarikat ada nama pun belum mampu mengangkat dirinya ke tahap yang tinggi. Kalau dilihat, populariti dia setakat ini hanyalah suam-suam kuku. Mungkin dia kena mandi bunga dulu kot, barulah aura popular akan terpercik di wajahnya. [sumber]