in

Penyanyi Pop Indonesia, Eddy Silitonga Meninggal Dunia Akibat Diabetis

Penyanyi pop Indonesia yang turut popular di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, Eddy Silitonga, 65, meninggal dunia awal Khamis setelah dua minggu dimasukkan ke Hospital Fatmawati di sini kerana menderita diabetis kronik.

Anak lelaki Eddy, Marco mengumumkan kematian ayahnya itu di laman sosial sebelum disiarkan oleh media dalam talian dan televisyen tempatan.

Penyanyi Pop Indonesia, Eddy Silitonga

“Ayah saya, Eddy Silitonga meninggal dunia pada pukul 12.05 pagi tadi di Rumah Sakit Fatmawati, Jakarta Selatan,” kata Marco dalam kenyataannya di sebuah laman sosial.

Antara lagu-lagu Eddy yang dipopularkan oleh artis Malaysia ialah Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu nyanyian Aishah.

Lagu-lagunya yang lain sering diperdengarkan Radio Malaysia ialah Bunga Tanjong, Lancang Kuning, Bunga Pujaan dan Jatuh Cinta.

Penyanyi itu dikejarkan ke Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan dua minggu lepas setelah mengadu sesak nafas.

Pihak hospital mengesahkan mendiang meninggal awal pagi tadi akibat komplikasi diabetis dan masalah jantung.

Eddy berasal dari Permatang Siantar, Sumatera Utara. — BERNAMA

Penyanyi Pop Indonesia, Eddy Silitonga

Eddy Silitonga kekal jati diri sepanjang hayat

Kehilangan penyanyi pop lagenda, Eddy Silitonga, 65, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.05 tengah malam semalam meraih perhatian ramai hingga berada di tangga teratas topik trending Twitter Indonesia.

Bukan hanya di tanah tumpah darahnya sendiri, nama penghibur keturunan Batak itu turut menyinar di negara jiran termasuk Malaysia, Brunei, Singapura serta Thailand.

Bagi mereka yang membesar pada era 1970-an, pasti dendangan seperti Bunga Pujaan, Biarlah Sendiri, Mama, Mimpi Sedih, Lancang Kuning dan Jatuh Cinta terus terakam di kotak fikiran malah menjadi malar segar hingga dinyanyikan semula penghibur lain.

Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah adalah antara penyanyi yang menjadikan Eddy sebagai idola hingga membawakan lagunya di dalam persembahan.

Pada Ogos 2014, Jamal memenuhi impian untuk berkongsi pentas dengan Eddy dalam konsert di Istana Budaya.

Tidak hairan, pemergian figura yang mesra disapa sebagai Pak Eddy berikutan komplikasi kencing manis serta jantung selepas dua minggu dimasukkan ke hospital, mengundang kesedihan ramai.

Sebagai rakaman penghargaan dan luahan kehilangan penyanyi vokal emas itu, laman sosial terus dibanjiri ucapan takziah sejak tengah malam tadi dengan rata-rata memberikan penghormatan terakhir.

Keistimewaan Eddy adalah kebolehannya menyanyikan lagu Minang hingga menghasilkan beberapa album. Eddy juga mendendangkan lagu Jawa berikutan pergaulan dengan orang Minang dan Jawa di tempat kelahirannya hingga membolehkan beliau fasih.

Lagu irama Melayu juga begitu dekat dengan jiwa anak jati Pematang, Siantar itu hingga lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Di Ambang Sore serta Bunga Tanjung terus menjulang namanya di persada seni suara.

Tatkala artis lain termasuk yang seangkatan dengannya cenderung terhadap rentak semasa kini, Eddy tetap kental bersama genre muzik Melayu selain selesa memilih irama Melayu Deli.

Pada tahun 2010, cinta mendalam terhadap khazanah muzik melayakkannya Eddy dilantik sebagai Duta Kebudayaan Indonesia dengan menjelajah 49 negara di lima benua dalam tempoh setahun.

Biarpun Eddy sudah tiada, khazanah yang ditinggalkan khususnya lagu Melayu Deli dan album daerah tetap dapat dikongsi dengan khalayak terutama generasi muda.

Majlis pengebumian mendiang Eddy yang meninggalkan lima anak itu dijadualkan disempurnakan di Tanah Perkuburan Kristian di Jakarta Selatan, esok.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Penonton Filem KUBO & THE TWO STRINGS

Fattah Amin Tidak Mahu Isu Putus Cinta Terus Berpanjangan