in

Penyanyi Nasyid 80an Ahmadi Hassan Meninggal Dunia

Kebanyakan dari kita pasti mengenali beliau, seorang penyanyi nasyid yang popular di zaman 70 dan 80 an. Tak dinafikan, Budiey juga antara yang membesar dengan lagu-lagu beliau. Berita kematian akibat sakit jantung, pastinya satu kehilangan sebutir bintang nasyid dalam industri seni.

Al-fatihah, semoga ruh allahyarham dicucuri rahmat. Salam takziah buat seluruh keluarga beliau.

SUNGAI BULOH 17 Feb. – Penyanyi nasyid era 70-an, Ahmad Hassan atau popular dengan nama Ahmadi Hassan meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur petang ini akibat penyakit jantung.

Allahyarham yang berusia 63 tahun dan pernah mencipta nama menerusi drama radio Fajar Di Bumi Permata dengan wataknya sebagai Pak Chat sekitar tahun 1970-an, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.30 petang.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, dua lelaki dan lima perempuan hasil perkahwinan dengan bekas isteri pertama, Hasnah Abu, 61, serta isteri kedua, Samsiah Hamdan, 50.

Kali terakhir arwah tampil dengan album adalah pada 2006 iaitu album berjudul Bahagia Berkasih yang kemudian memenangi kategori Album Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik bagi tahun ke-14 (AIM14) 2007.

Allahyarham dilahirkan pada 6 Oktober 1947 dan berasal dari Padang Menora, Tasik Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Menurut anak sulungnya, Shahril Ahmad, 35, Allahyarham pada mulanya dimasukkan ke hospital berkenaan dua minggu lalu selepas hampir sebulan menghidap demam.

“Namun, selepas menjalani ujian darah, doktor mengesan arwah bapa saya menghidap komplikasi buah pinggang. Semalam arwah masih boleh makan dan berbual-bual tetapi keadaannya bertambah lemah pada petang ini. Sekitar pukul 4 petang, saya dihubungi pihak hospital yang mengatakan bapa tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 5.30 petang,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Kampung Merbau Sempak dekat sini malam ini.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Sempak kira-kira pukul 10 pagi esok.

Jelas Shahril, sehari sebelum Allahyarham meninggal dunia, bapanya itu sempat memintanya supaya bersabar atas apa jua takdir Allah.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Syukri Ahmad, 16, berkata, kehilangan bapanya itu cukup dirasai kerana Allahyarham menjadi tempat untuk mengadu segala masalah.

“Arwah selalu menghantar dan mengambil saya ke sekolah. Ketika terlantar di hospital, arwah ada bertanyakan tentang persekolahan saya. Ayah juga menyuruh saya mendiami rumah sepupu supaya mudah untuk ke sekolah,” katanya yang bersekolah di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

IZ OIAM Sibuk Promosi Filem The Successor: The Successor: Private & Confidential

ADV: Dapatkan ebook Panduan Merawat Keputihan di rawatkeputihan.com