in , ,

Penyanyi Nadira Adnan Bakal Berduet Dengan Idola

Impian Nadira Adnan untuk berpadu suara dengan penyanyi yang menjadi idolanya sejak sekian lama bakal menjadi realiti menerusi Konsert Cinta yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Ogos depan di Panggung Sari, Istana Budaya. 

Konsert dibawa khas oleh Nadira Music Management itu bakal menampilkan dirinya berduet dengan penyanyi Malaysia yang membina tapak di Amerika Syarikat (AS), Yuna; penyanyi rock berpengalaman, Amy; artis hip hop terkenal, Joe Flizzow; dan vokalis Hujan, Noh Salleh. 

Turut mengadakan persembahan pada konsert itu ialah rakan duetnya menerusi lagu Cinta Datang dan Pergi, Al Ghazali, yang juga anak teruna Ahmad Dhani. Nadira, 19, mengaku teruja apabila semua penyanyi kegemarannya sudi menerima tawaran untuk beraksi pada konsert berkenaan. 

“Penyanyi terpilih ini adalah mereka yang menjadi idola saya sejak dulu lagi. Semua orang tahu mereka bukan saja berbakat besar, tetapi berada dalam liga tersendiri. “Abang Amy umpamanya seorang penyanyi legenda. Sejak kecil lagi saya dengar lagu Search dan Isabella tentunya lagu mereka yang paling saya minati. ”

Menerusi konsert ini juga, selain menyanyi secara solo, saya akan berpadu suara dengan mereka. Saya akan tampil menyanyikan 14 lagu secara solo dan berduet,” kata pemilik nama penuh Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan ini pada majlis sidang media konsert berkenaan di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; Pengarah Konsert, Shuharezuan Ramli; Pengarah Muzik, Eddie Slam; wakil penganjur, Bibi Sherlina; dan Amy. 

Sementara itu, Mohamed Juhari memberitahu, sambutan terhadap konsert itu sangat memberangsangkan apabila tiket untuk persembahan pada 19 Ogos habis terjual.

“Walaupun tempoh promosi konsert ini singkat, namun sambutannya sangat menggalakkan. Mungkin barisan artis menjayakannya membuatkan ramai tidak sabar untuk menonton konsert berkenaan,” ujarnya. Tiket berharga RM100 , RM175 , RM250, RM300 dan RM500 dijual secara dalam talian di www.ticketpro.com.my dan di kaunter Istana Budaya.
Sumber: http://www.bharian.com.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Acara Pembukaan Sukan Olimpik Rio Berlangsung Meriah

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GM Klang 2016