Pengakuan itu, sekali gus melenyapkan desas-desus mengatakan penyanyi lagu Bangun itu sengaja mahu menyembunyikan statusnya kerana bimbang kehilangan peminat.
“Iya, saya sudah berkahwin,”
– Aman Ra
Aman Ra berkata ringkas, tanpa menjelaskan butiran mengenai pernikahannya itu.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai status penyanyi yang berimej botak itu, namun Aman Ra atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, 32, lebih selesa mengunci mulut mengenai perkara itu.
Tindakannya itu bagaimanapun, menimbulkan perasaan kurang senang beberapa pihak yang mendakwa, dia sengaja menyorokkan statusnya kerana bimbang perkara itu menjejaskan popularitinya.
Mengenai dakwaan dia dikatakan sombong dan berlagak, Aman Ra menyifatkan, tanggapan itu timbul apabila ramai membuat penilaian berdasarkan raut wajah dan penampilannya.
“Memang ramai menyangka saya sombong dan berlagak. Sejak dulu lagi, saya dengar komen seperti ini.
Mungkin raut wajah saya yang serius membuatkan ramai ingat saya begitu.
“Kadang-kadang, saya ada masalah untuk berkomunikasi sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pihak lain.
“Namun, saya terima komen itu dengan hati terbuka dan berjanji untuk terus memperbaikinya pada masa akan datang,”
– Aman RA
Aman RA kini sibuk mempromosikan lagu terbaru, Berada yang menemukannya dengan Altimet dan Noh Salleh.
Lagu itu berkisar perjalanan hidup dan pengalaman pahit manis yang mereka lalui. Meskipun tidak semuanya indah, tiga penyanyi itu tetap bersyukur kerana pengalaman yang dilalui membentuk mereka seperti hari ini.
Sumber: Berita Harian