Minggu lalu, Budiey ada menerima penggilan dari penyanyi Haziq Rosebi yang mana beliau sendiri mahu menjemput Budiey untuk buat liputan di Majlis Pertunangan beliau dengan bakal tunangnya yang bernama Maisarah Sidki di rumah kediaman keluarganya.
Budiey difahamkan, majlis sederhana ini akan berlangsung pada jam 3.30 petang. Memandangkan pada hari ini, Budiey menjadi speaker di Fiesta Muslimah BH 2014, jadi Budiey tak pasti samada sempat menghadiri majlis ini atau tidak. Insyaallah sempat kot. Tengok dulu macamana.
Haziq mengatakan bahawa beliau merancang untuk bernikah pada bulan Ogos 2015. Mmm… agak lama jugak tu nak tunggu tahun depan, kan? Apa-apa pun, Budiey ucapkan selamat bertunang kepada Haziq dan pasangannya. Semoga berbahagia selalu sehingga ke akhir hayat.
Menurut penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim keempat ini beliau telah menjalinkan cinta hampir tiga tahun dan menurut Haziq perancangan majlis pertunangan mereka dilakukan sejak sebulan lalu.
Menurut Haziq melalui berita yang disiarkan di Berita Harian:
“Kami kenal pun melalui kawan. Bermula menerusi laman sosial Facebook, Haziq memohon untuk menjadi rakannya. Lucunya setahun selepas menjadi kawan di laman sosial itu, Haziq baru sedar kawannya dari kelompok yang sama. Mai (panggilan untuk Maisarah) pun satu sekolah dengan kawan baik Haziq. Kecil dunia itu tapi itulah hakikat. Mai juga antara cinta pertama Haziq yang bertahan lama dan dalam hati mengharapkan dialah yang terpilih untuk berkongsi hidup dengan saya.”
Ditanya apa istimewa Mai di matanya, Haziq menyifatkan wanita genit yang bertakhta di hatinya itu sangat memahami.
“Kami banyak serasi dalam beberapa perkara,” katanya.
Dalam teruja menanti hari pertunangan, Haziq tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana abah tersayang sudah menyahut seruan Ilahi sejak dua bulan lalu. Rosebi Ibrahim meninggal dunia akibat barah hati.
“Selalunya ayah akan urus itu dan ini termasuklah hal membabitkan kerjaya saya dulu. Tapi sekarang saya seperti hilang orang kuat. Saya nak tak nak kena sesuaikan semua itu,” katanya.
Haziq dan bakal tunangnya, Maisarah.
Mengenai perkembangan seni, Haziq sejak menyertai Akademi Fantasia pada tahun 2006 masih aktif menyanyi dan memenuhi undangan membuat persembahan. Biar sering dilihat sepi tanpa publisiti, Haziq sebenarnya meriah dengan kerja seni.
“Di sebalik pandangan sesetengah orang yang menyifatkan saya sepi, Alhamdulillah saya masih bernafas. Setiap hujung minggu ada undangan menyanyi. Malah saya juga sudah terbiasa ditawarkan menyanyikan lagu irama Asli.
“Saya juga sering diundang membuat persembahan kebudayaan termasuk memenuhi jemputan kerabat dari Kedah dan Kelantan,” katanya.
Sumber: Berita Harian & Foto dari Facebook Haziq Rosebi