PROGRAM LAWATAN MAHABBAH DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN KEPADA PESAKIT-PESAKIT DI HOSPITAL AMPANG, AMPANG, SELANGOR PADA 26 MEI 2011
Masjid Negara telah menganjurkan Program Lawatan Mahabbah dan Penyampaian Sumbangan kepada Pesakit-Pesakit di Hospital Ampang, Pandan Mewah, Ampang, Selangor pada 26 Mei 2011 (Khamis) bermula jam 10.30 pagi. Bersesuaian dengan Bulan Jamadilakhir ini, ianya merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ianya merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di hospital-hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program ini dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad, Imam Besar Masjid Negara, serta Timbalan Pengarah Hospital Ampang, YBhg. Dr. Roosli bin Mohamed Salleh dan disertai oleh Pegawai serta kaki tangan Masjid Negara seramai 20 orang. Sumbangan berupa hamper makanan, wang tunai, risalah mengenai Islam serta Buku Panduan Solat ketika Sakit keluaran JAKIM telah diedarkan kepada pesakit-pesakit di 4 wad terpilih iaitu Wad Perubatan (5A dan 5C) dan Wad Pembedahan (6B dan 6C), Hospital Ampang, Pandan Mewah, Ampang, Selangor.
Rombongan lawatan ini juga turut menziarahi mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang telah berlaku pada Sabtu, 21 Mei 2011 yang lalu di mana mereka ditempatkan di Wad 5D, Hospital Ampang. YBhg. Tan Sri Imam Besar dan kaki tangan Masjid Negara telah memberikan kata-kata perangsang dan semangat kepada mangsa untuk meneruskan hidup kerana apa yang telah berlaku adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT. untuk kita sebagai umat dibumi-Nya.
Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kaki tangan Masjid Negara dengan kaki tangan Hospital Ampang di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena bulan Jamadilakhir yang mulia ini. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Hospital tersebut dengan adanya program lawatan sebegini.
Di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan Masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.