Di hujungnya, kita telah menyaksikan Afiq atau nama sebenar MOHD SYAFIQ BIN MOHD RAMADZAN, 21 tahun, tersingkir. Seperti kata Roslan Aziz, program realiti Akademi Fantasia ini sesiapa pun boleh menjadi pemenang. Tidak kira samada pelajar itu berasal dari kampung atau bandar.
Soalnya apakah sebab musabab Afiq tidak menerima undian yang banyak? Apakah kedudukan Afiq yang agak rapuh di tangga ke 11 sebelum konsert? Apakah penyingkiran Afiq disebabkan Afiq bermain golf dalam Tirai AF?
Kalau Diya mendapat undian tercorot kerana teman lelakinya (ops! sekarang dah jadi bekas kekasih), Afiq pula kemungkinan besar tidak mendapat sokongan daripada pengundi kerana beliau digambarkan sebagai anak orang yang berada kerana gemar bermain golf dan futsal.
Lagu Biso Bonar di tangan Afiq agak tidak memberangsangkan. Namun, perubahannya jauh lebih baik daripada minggu lepas. Afiq tidak kaku di pentas dan lontaran vokalnya sudah ada peningkatan walaupun ada ‘flat apartment’ ketika permulaannya.
Kelemahan Afiq ialah projeksi suara untuk nada rendah yang agak tidak jelas, pengisian yang tidak berapa tepat dan bak kata Hattan, lagu Biso Bonar memerlukan satu imaginasi bak burung yang sedang terbang.
Struktur lagu ini yang mengulangi bait korus itu memang membosankan. Jadi pengisian dan terjemahan karakter lagu perlu disampaikan kepada penonton agar tidak menjemukan penonton.
Dalam Diari AF, Afiq banyak muncul dengan pelbagai watak. Mudah cenggeng, mudah tersenyum dan mesra dengan rakan. Pernah Afiq menangis di hadapan kamera ketika ucapan ringkas untuk bapanya. Penyertaan Afiq dalam AF banyak memberi makna dalam dirinya dan sekaligus ingin membuktikan sesuatu pada familinya.
Afiq yang berasal daripada Putrajaya juga agak nakal dan seringkali mengusik teman-teman yang lain. Namun, karakternya tidak kuat dan agak tenggelam dengan gelombang aura yang besar datang daripada Dafi, Heliza, Shawal dan Aizat.
Pada minggu ini, Afiq telah membuat pendedahan eksklusif mengidap penyakit Epilepsy (sawan). Rasanya ini bukan faktor utama kerana Afiq kelihatan sihat kecuali sendi bahunya terkehel sedikit di suatu ketika. Tapi takut jugak kan, manalah tau penyakit tu datang serang masa Afiq perform.
Ramai yang kata, karakter Afiq terlalu ‘kepoyoan’. Itu terserah pada orang yang memandang. Subjektif. Itu bukan ukuran sebab suara Afiq power le jugek. Nak out standing je yang susah sikit sebab tidak diberi lagu yang betul-betul menguji kebolehan Afiq.
Drama percintaan Afiq bersama Mila dalam Diari AF tidak membawa apa-apa makna. Malah pada saya itu hanya ‘ubat-ubat pelali’ yang membuat saya lebih mengantuk. Membosankan dan klise. Dan lihatlah sendiri, adakah strategi menjalinkan hubungan cinta dalam AF satu langkah yang berkesan atau tidak?
Lagi pun, saya rasa tidak ada kelab peminat untuk Afiq. Entahlah, Akademi Fantasia kali ini tidak menekankan kepada fan club. Apabila tersingkir daripada AF, pelajar dibiarkan bebas dan gantung tak bertali dan tidak dibenarkan hadir di konsert.
Namun, saya masih lihat penampilan Diya dalam Muzikdiria bersama Yasmin Hani, Diya juga ada tampil bersama Jimmy Shanley dalam Trek Selebriti.
Pendekatan ini amat bagus untuk mengurangkan artis mee segera dalam industri. Juga difahamkan Maestro sudah tidak ada daya untuk menanggung bilangan artis dalam pengurusannya. Ramai yang sudah membawa diri dan ada yang bertuah kerana diterima menjadi artis di bawah pengurusan lain seperti Alamorphosis, Badrulaftersix (Diddy) dan lain-lain.
Setakat ini hanya Dafi (laman web Dafi FC), Aizat dan Heliza yang sudah ada kelab peminat sendiri. Peminat yang besar tidak bermakna menjanjikan kemenangan. Ini bergantung pada undian SMS. Ada orang minat seseorang pelajar tetapi tidak pernah mengundi barang sekali pun. Ini melibatkan modal yang banyak dan sumber kewangan yang bukan sedikit. Untuk menggondal hadiah dan gelaran juara, saya rasa itu semua menagih satu pengorbanan yang besar.
Semoga bakat Afiq akan terus hidup dan digilap di luar sana. Penyingkiran kali ini tidak menagih tangisan yang dahsyat dari pelajar dam penonton di dewan.
Tidak ada respon yang keterlaluan seolah-olah penyingkiran ini sudah diduga memandangkan kedudukan Afiq sebelum konsert pun memang agak rapuh. Begitu juga dengan penonton di dewan yang agak sepi… tiada bangkangan, tiada sorakan… seolah tiada apa-apa yang berlaku.
Memang kau biso bonar… sampai kau terkeluar!
Kredit: Terima kasih kepada Mr Manager yang sudi membawa Sensasi Selebriti ke Konsert AF Minggu Kedua.