[dropcap]B[/dropcap]erita seorang penulis skrip terkenal, Meor Shariman Bin Meor Shariman telah meninggal dunia pagi semalam (17 Mac 2013) kerana mengidap penyakit kanser usus tidak banyak keluar di media internet. Jadi, Budiey nak siarkan di sini, memandangkan Budiey banyak kali juga jumpa Allahyarham di majlis pelancaran filem dan pra tonton.
Allahyarham meninggal di usia 42 tahun di kediaman keluarganya di Putrajaya jam 6.20 pagi. Adiknya, Saliza Meor Shafie, 31 tahun berkata keadaan abangnya mula tenat sejak tengah malam dan menghembus nafas terakhir di depan ibu mereka. Allahyarham sempat mengupload gambar terakhir di Twitter miliknya yang menggambarkan keadaan beliau yang sangat kurus dan tidak bermaya melawan kanser.
Menurut adiknya lagi kepada Harian Metro:
“Beberapa hari sebelum meninggal, dia dimasukkan semula ke Hospital Putrajaya akibat sesak nafas. Kanser sudah merebak ke bahagian paru-paru dan hati. Doktor mencadangkan supaya paru-parunya ditebuk namun arwah enggan membenarkan dan keluarga juga kurang bersetuju.”
Namun, Budiey tak pernah bercakap dengan arwah memandangkan kami tidak mengenali antara satu sama lain. Seingat Budiey, Meor Shariman dulunya pernah mengurus karier pelakon Asyraf Muslim, Sherry Ibrahim dan Aliff Satar. Sebelum tu, ramai yang tak tahu juga beliau pernah mengurus grup X-Factor. Mungkin ramai yang tidak mengenali insan yang bergelar Meor Shariman ini, sebenarnya, dulu arwah pernah bertugas di meja editorial hiburan dan jenayah di New SundayTimes sebaris dengan wartawan otai yang lain seperti Kak Cham dan abang Adam Salleh Jarum Emas.
Walaupun beliau agak low profile, namun, seharusnya kita kena ingat, karya-karya penulisn skrip beliau untuk drama dan filem seperti filem Main-Main Cinta, Jangan Pandang-Pandang, Salam Cinta, Duyung, Minyak Dagu, Cicakman, Tentang Bulan, dan juga turut menghasilkan beberapa naskah novel. Budiey lihat allahyarham sangat aktif menulis skrip untuk filem terbitan MIG dan Excellent Pictures.
Keluarganya reda dengan pemergian anak sulung daripada empat adik beradik itu yang disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga.
Jenazah Allahyarham Meor Shariman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islan Presint 20, Putrajaya. Sama-sama kita doakan ruh beliau dirahmati oleh Allah dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin. Al-Fatihah.
Twitter Asyraf Muslim:
@asyrafmuslim: “Marilah kita sama2 doakan roh Abg Meor Shariman (managerku dulu) diberkati oleh Allah swt dan ditmptkan bsama org2 yg beriman, Insyallah!”
Twitter Kak Cham:
@kakcham: “Al-fatihah buat rakan media Meor Shariman yang kembali ke Rahmatullah sebelum subuh tadi. Salam takziah buat keluarga.”
Twitter Norman KRU
@NormanKRU: “Salam takziah kpd keluarga Allahyarham Meor Shariman (penulis skrip Cicakman 1 & 2) yg pulang ke rahmatullah pagi tadi. Al Fatihah.”