Mula terlibat secara aktif dalam seni dan sastera sejak 1995. Bertugas sebagai Penulis Profesional dalam pelbagai genre dan pernah bertugas sebagai Pengurus Kreatif, SQ Productions (1997 – 1999) dan Pengurus Kreatif & Pemasaran di Unitputra Productions, UPM, Serdang (1999 – 2006).
Merupakan lulusan kumpulan graduan pertama Diploma Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan dan mendapat Anugerah Graduan Cemerlang ASWARA. Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama, Bacelor Komunikasi UPM, Jasmina telah menerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Program Eksekutif Bacelor Komunikasi sesi 04/07 oleh Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM.
Sangat aktif dalam penulisan drama TV, novel, cerpen dan skrip teater serta pengurusan produksi teater. Sepanjang penglibatan, beliau sudah menghasilkan lapan buah novel, melebihi 30 buah drama TV (telemovie & bersiri). Karya beliau, novel remaja ‘Trilogi Cinta’ memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu (2001) dan Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003), kategori Kesusasteraan Remaja. Kolumnis rencana teater majalah Tunas Cipta (2001 – 2006) ini juga menulis puisi dan senikata lagu.
Beberapa pengiktirafan diperolehi seperti Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank (1999), Hadiah Sastera Utusan Melayu (2000), Hadiah Sastera Utusan Melayu – Exxon Mobil (2001/2003) melalui kategori cerpen dan hadiah utama novel remaja ‘ Ombak Sfera Lotus’ (2003), hadiah utama novel remaja ‘6:20’ (2005) dalam pertandingan yang sama.
Tempat pertama cerpen ‘Khabar Dari Jendela Ombak’ dan penghargaan puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen & Puisi PEN (2003). Hadiah Skrip Drama Pentas bagi Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-9 (2000). Hadiah Utama Skrip Drama TV dalam Pertandingan Penulisan Cereka TV & Pawagam, FINAS (2000) dan Hadiah Utama Skrip Filem (2001) dalam pertandingan yang sama.