Lebih mengujakan, program yang mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen itu berjaya menandingi rekod jumlah tontonan sebuah program realiti yang membariskan selebriti popular, Hijrahkan Laguku terbitan TV AlHijrah.
Menurut Pengurus Penjenamaan dan Kajian Penonton, Zulkarnaen Mokhtar, Pentas Marhaban bukan saja diminati oleh golongan berusia tetapi turut digemari oleh penonton muda hasil tinjauan di media sosial TV AlHijrah.
“Alhamdulillah Pentas Marhaban semakin menunjukkan ‘taring’ apabila kian dikenali oleh penonton di Malaysia.
“Malah jumlah rating Pentas Marhaban juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan selain berjaya menandangi program realiti terbitan TV AlHijrah yang membariskan penyanyi popular, Hijrahkan Laguku sebelum ini.
“Biarpun Pentas Marhaban tidak menampilkan barisan peserta yang dikenali ramai, tapi nampaknya penonton menyukai dengan konsep dan idea baharu yang ditampilkan TV AlHijrah.
“Kami harap program ini akan terus dikenali ramai dan mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi untuk konsert yang berbaki tiga episod lagi,”katanya.
Dalam pada itu,Pentas Marhaban minggu kelima yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan kumpulan Al-Maqari’ berjaya menewaskan Qalbun Hadi seterusnya melayakkan diri mereka ke peringkat separuh akhir.
Bagaimanapun, kemenangan itu menerima pertikaian segelintir pihak susulan keberadaan hos yang juga anggota asal kumpulan Al-Maqari’, Tilmiz Fahmi.
Ini kerana ada yang mendakwa situasi itu secara tidak langsung telah mewujudkan konflik kepentingan seperti mempunyai keistimewaan untuk melayakkan kumpulan terbabit menyertai program itu.
Menurut Penerbit Pentas Marhaban, Nurul Ain Mohamed, Fahmi hanya bertindak selaku hos dan tidak terbabit dengan sebarang keputusan program.
“Tilmiz Fahmi adalah salah seorang anggota kumpulan Al-Maqari tapi dia tidak terlibat langsung dari segi pemarkahan dan pemilihan daripada awal.
“Mereka dipilih melalui uji bakat diantara pihak produksi dan penasihat tanpa penglibatan Fahmi. Dia hanya hos semata-mata dan tak bertanding.
“Apa-apa input pun kami tidak pernah sampaikan kepada Fahmi. Begitu juga sebaliknya. Malah, penilaian dibuat oleh pihak luar dan kami tiada kuasa,” katanya.
Pada masa sama, Nurul Ain turut mengulas mengenai pertembungan di antara dua kumpulan yang membabitkan kumpulan diwakili lelaki dan wanita pada saingan minggu ke-5.
“Pertembungan ini tidak dinafikan agak sengit, khasnya di antara qari dan qariah. Kami sudah boleh agak penerimaan para penonton.
“Penetapan kumpulan yang bertanding pada setiap minggu pula adalah berasarkan undian yang telah dibuat lebih awal.
“Kita tak tahu kumpulan mana akan bertemu dan pada minggu ke berapa mereka akan bertanding.
“Jadi, kita lihat komen-komen di media sosial juga positif. Kedua-dua penyokong memberikan pendapat masing-masing,” katanya.
Pentas Marhaban bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran TV AlHijrah.
Program ini juga dihoskan oleh gandingan pengacara Shamsul Ghau Ghau dan Tilmiz Fahmi.
Manakala, Ustaz Zulhafis Gambus dan Ustazah Asni Mansor bertindak selaku juri tetap.