in

Pentas Konsert Kedua Kumpulan B Kekal Milik Black

Konsert kedua Kumpulan B minggu lalu menyaksikan Black kekal di tangga teratas dengan markah terkumpul sebanyak 149.5%, diikuti oleh Thye dengan markah sebanyak 110.2%, dan Keena dengan markah 101.3%. Ternyata Black mendominasi pentas untuk kali kedua dengan persembahan yang hebat tambahan pula dengan sorakan peminat-peminat fanatik Black yang memberikan sokongan penuh sepanjang konsert berlangsung. Kini, hanya tinggal satu lagi persembahan untuk menentukan siapakah yang bakal diumumkan tersingkir.

Selain daripada persembahan yang cukup memberangsangkan, ketiga-tiga protégé juga mendapat komen positif dari juri-juri professional. Adnan Abu Hassan kagum dengan kemampuan Black membawakan lagu “Ku Telah Jatuh Cinta” manakala Datuk David Arumugam turut berpuas hati melihat kemampuan Black menyampaikan lagu duet bersama kumpulan Evo, “Srikandi Cintaku” dengan baik sekali. Mas Idayu sebagai mentor kepada Black kelihatan gembira dengan komen-komen juri dan meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian Black yang semakin meningkat.

Persembahan klasik Thye berjaya mencuri perhatian juri awam di studio apabila berjaya memperolehi markah tertinggi sebanyak 19/20. Walaupun berada di tangga kedua pada konsert kali ini, Thye berjaya menyaingi Keena yang hanya mendapat markah sebanyak 7/20 dari juri awam. Berbeza daripada konsert terdahulu, konsert kedua ini Thye menyampaikan persembahan yang mengasyikkan dengan membawa lagu asli berbentuk medley, “Selasihku sayang / Zapin Hari Ribut/”, dan persembahan yang mencuit hati hasil duet bersama protégé dari Kumpulan A, Chaq, dengan lagu mereka “Pilihlah Aku”.

Adnan Abu Hassan dan Datuk David Arumugam berasa teruja dengan persembahan Thye dan menganggapnya sebagai penyanyi yang berkarektor tinggi dan mempunyai kredibiliti untuk menjadi penghibur professional satu hari nanti. Adibah Noor berterima kasih dengan juri-juri professional serta juri-juri awam kerana memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Thye dan dapat melihat sendiri kemampuan anak didiknya itu.

Tuah tidak menyebelahi Keena untuk konsert ini malah Awie berasa kesal dengan markah yang diberikan kepada protégénya itu yang hanya mendapat markah berjumlah 52.4% sekaligus meletakkannya di tangga tercorot. Persembahan pertama Keena pada malam itu sangat membanggakan ditambah lagi serinya dengan kehadiran Fira untuk berduet bersama dalam lagu “Gemuruh”. Keena cuba membuktikan kehebatannya dalam persembahan lagu “Tak Ada Logika” tetapi ia tidak cukup untuk mengambil hati juri awam dan juri professional.

Adnan Abu Hassan mengatakan Keena sudah mempunyai pakej yang cukup tetapi masih ada kekurangan di dalam lontaran suaranya. Datuk David Arumugam bersetuju dengan pendapat itu tetapi tetap memuji kemantapan setiap persembahan yang diberikan oleh protégé-protégé Kumpulan B minggu ini. Secara keseluruhan, persembahan dari kumpulan B sangat bertenaga dan masing-masing mempunyai keunikan vokal tersendiri.

Mentor musim kali ini mempamerkan sedikit perubahan dari segi format pemarkahan di mana markah akan diberikan melalui 3 bahagian iaitu 50% dari juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam bidang industri muzik. Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak 3 kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan 2 peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke separuh akhir. Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Pada peringkat separuh akhir, 2 protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari 2 peserta ke peringkat akhir. Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan, protege membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan Mentor pula meraih RM 100.000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai, RM 30,000.

Mentor 3 menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan Jurnal Mentor. Selain dari itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Mentor kali ini juga turut menjemput peserta-peserta yang pernah datang ke ujibakat yang dirasakan ‘unik’ untuk membuat persembahan pada setiap minggu.

Program Mentor ini telah menemui penonton TV3 mulai 19 April 2009 yang lalu dengan rangkuman sesi ujibakat manakala konsert Mentor bermula 3 Mei 2009 dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan protégé sebelum berentap pada Ahad (10 Mei 2009) dalam konsert mingguan. Program ini bersiaran setiap Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan serta aktiviti-aktiviti protégé bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad jam 5.30 hingga 6.00 petang manakala Jurnal protégé yang memaparkan diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Anak Lah VE

Liyana Jasmay di Konsert Jelajah 11 Era