Merujuk kepada laporan BERNAMA berkaitan isu berkenaan yang turut dipetik oleh media cetak dan elektronik tempatan, sukacita Bahagian Hab Halal Jakim ingin menjelaskan bahawa telah timbul kekeliruan yang memberi persepsi seolah-olah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan pensijilan dan penggunaan logo Halal Malaysia kepada semua premis makanan di negara ini. Jakim suka menegaskan bahawa pensijilan Halal Malaysia oleh Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)/ Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela.
Walau bagaimanapun, pemameran logo halal atau sebarang perbahasan atau ungkapan halal di premis restoran dan seumpamanya hendaklah dibuktikan dengan pensijilan Halal Malaysia oleh JAKIM/ MAIN/ JAIN sebagai satu bentuk perakuan yang diiktiraf oleh undang-undang. Ini adalah selaras dengan kehendak dan keperluan perundangan yang dijelaskan oleh Akta Perihal Dagangan 2011 melalui perenggan 4 (1) dan (2) Perintah Perihal (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 yang lalu.
Sehubungan itu, pemameran logo halal dan sebarang penandaan halal yang tidak dapat dibuktikan dengan pensijilan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa yang diiiktiraf oleh undang-undang ini; iaitu Jakim/ MAIN/ JAIN, adalah merupakan satu kesalahan. Tindakan sedemikian adalah disifatkan suatu kesalahan memperdayakan dan mengelirukan pengguna. Ini adalah selaras dengan perenggan 4 (1), (2) dan (3) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2012 yag dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012.
Oleh yang demikian, isu Jakim/ MAIN/ JAIN mewajibkan semua premis mempamerkan sijil dan logo halal bagi premis restoran yang tidak mempunyai pensijilan Halal Malaysia adalah tidak berbangkit. Sukacita Jakim juga ingin menjelaskan bahawa tiada paksaan dalam permohonan pensijilan Halal Malaysia.
Jakim ingin menasihati pihak pengusaha premis makanan yang tidak mempunyai pensijilan Halal Malaysia oleh Jakim/ MAIN/ JAIN agar tidak mempamer atau menggunakan sebarang logo atau penandaan atau ungkapan berkaitan halal seperti ‘ditanggung halal’ atau ‘makanan orang Islam’ dan seumpamanya di premis mereka kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah perundangan yang dijelaskan di atas.
Jakim menyaran dan menggalakkan pengusaha premis makanan memohon pensijilan Halal Malaysia dengan pihak berkuasa berwibawa di peringkat Persekutuan (Jakim) atau di peringkat negeri (MAIN/ JAIN). Pensijilan Halal Malaysia yang dimiliki oleh pengusaha premis makanan ini menjadi suatu bentuk pengesahan yang diiktiraf undang-undang bahawa makanan dan minuman berserta bahan mentah/ bahan ramuan, peralatanpenyediaan makanan serta perkhidmatan premis makanan itu dapat disahkan kehalalannya, selaras dengan keperluan prinsip halalan toyyibanberdasarkan keperluan Standard Halal Malaysia MS1500: 2009. Malah premis berkenaan juga akan turut diperakui telah menepati aspek kebersihan, sanitasi dan keselamatan makanan berdasarkan Standard tersebut.
Manakala pihak pengguna pula akan berasa lebih yakin terhadap logo halal yang dipamerkan oleh pengusaha premis benar-benar telah mendapat jaminan oleh pihak berkuasa berhubung status kehalalan dan keselamatan makanan dan perkhidmatan yang disediakan. Justeru kebajikan pengguna akan sentiasa terpelihara oleh perundangan ini. Dalam masa yang sama, pihak pemilik dan pengusaha premis makanan akan mendapat faedahnya yang tersendiri.
Pada masa yang sama, berdasarkan persetujuan Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar gerak kerja pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan Halal Malaysia kepada premis makanan akan dilaksanakan secara berperingkat.Buat masa ini Jakim masih dalam proses memberikan pendidikan dan nasihat kepada pengusaha dan pemilik premis.
Pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat kepada premis makanan ini juga akan memberi peluang dan masa yang secukupnya kepada semua pengusaha premis makanan melaksanakan perubahan dan mendapatkan pensijian Halal Malaysia sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang berkenaan.