Dalam ruangan Jawablah Berita Harian, ada penjelasan dan pengakuan Johan berkaitan dengan gambar aksi berani bersama pasangannya, Ozlyn Wati yang suap menyuap dan berpeluk sakan di khalayak ramai. Ramai yang kata, kelakuan itu kurang manis kerana secara tidak langsung memberi persepsi buruk terhadap golongan artis.
Kata Johan: Terus terang, saya akui memang kami bercinta dan kami memang dalam perancangan mendirikan rumah tangga. InsyaAllah, kami akan berkahwin pada Jun nanti, tapi tahunnya belum tahu lagi. Kami memilih bulan Jun kerana bagus untuk mereka yang berbintang Gemini.
Kami tahu dan kami baca sendiri cerita itu di akhbar. Saya ingin membuat pembetulan di sini bahawa kami sebenarnya bukan bercium atau berpeluk. Apa yang kami buat sebenarnya adalah berbisik. Mungkin perbuatan itu menyebabkan ramai yang menyangka yang kami sebenarnya bercium. Kami berbisik pun ada sebab iaitu pada masa kejadian itu, saya terdengar ada orang yang bercerita hal yang kurang baik mengenai diri kami. Terlanjur individu itu sudah mengata kami, jadi saya sengaja mendekatkan diri di wajah Ozlyn sambil menjerit perkataan I Love You di khalayak ramai. Kira kami berlakon, buat begitu sebab nak bagi individu itu lagi panas dengan kami.
Saya hairanlah, mengapa apabila kami berbuat begitu, orang pandang serong, tapi bila artis lain buat perkara sama, tidak ada siapa yang pertikaikan. Kami cuma laga pipi, dan perkara ini juga dilakukan artis lain apabila mereka berjumpa. Lagi pun, adalah lebih baik apabila kami, yang memang mengaku bercinta buat begitu, daripada mereka yang tidak mengaku bercinta, tetapi buat perkara yang serupa. Mengenai isu peluk itu, ingin saya jelaskan walaupun kami berpeluk tapi tidak sampai melekapkan dada masing-masing. Ozlyn hanya bergantung di leher saya dan saya sifatkan pelukan itu sebagai pelukan memberi semangat. [sumber]