in

Pengurus Artis Kaya Dengan Menipu Artis?

Artikel berita dari Harian Metro yang mendedahkan seorang bekas pengurus artis ini telah berjaya mengaut keuntungan dengan menipu beberapa orang artis artis 

Dia pernah bergelar pengurus artis, memiliki syarikat berkaitan industri hiburan dan menubuhkan beberapa kumpulan nasyid sejak 2004, tetapi rupa-rupanya dia hanya mahu memanfaatkan industri itu untuk melakukan penipuan.

Modus operandinya mudah — menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.

Jika ada kesempatan, dia turut menipu individu yang tidak terbabit dengan industri hiburan, asalkan mendapat wang.

Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees dan Nice serta kumpulan Infinatez. 

Itu kelicikan seorang pemuda berperwatakan lemah lembut dan baik dikenali sebagai Mr S berusia 30-an yang sehingga hari ini dikatakan mengaut wang hasil temberang lebih RM1 juta.

Dengan perwatakan berkenaan, kebanyakan mangsa tidak mengesyaki pemuda itu ‘penipu besar’ dan lebih menakutkan, dia didakwa mengamalkan ilmu hitam.

Tembelang bekas pengurus artis itu terbongkar selepas satu demi satu mangsa penipuannya tampil membuat pengakuan kepada wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN. Berikut luahan mangsa.

PENYANYI DAN PELAKON, WAHEEDA

“MUKANYA manis, pertuturannya lembut, tetapi di sebalik semua itu saya mengenalinya sebagai penipu kerana saya antara mangsanya,” kata penyanyi berusia 30 tahun ini.

Menurut Waheeda, sebelum temberang Mr S terdedah, hubungan mereka akrab seperti adik-beradik.

Katanya, dia turut sama menjaga anggota kumpulan nasyid Devotees yang di bawah pengurusan kaki putar belit itu.

“Saya mengenalinya ketika membuat persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum hubungan kami rapat atas dasar profesional dan kerja.

“Dalam masa sama, Mr S menjadi pengurus anggota Devotees. Kami seperti satu keluarga besar dan jika dilihat pada awalnya, lelaki itu menjaga kami seperti anak dan adiknya,” katanya.

Bagaimanapun, tembelang Mr S terdedah ketika pura-pura membantu Waheeda mencari rumah selepas kediamannya dipecah masuk tahun lalu.

Menurutnya, Mr S menyuruh dia membayar RM3,000 sebagai deposit untuk menyewa kediaman lain dan tidak dibenarkan masuk sementara menunggu pengubahsuaian.

“Selepas lama menunggu, saya syak ada yang tidak kena dan terus menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan saya membatalkan hasrat menyewa di sana. Saya meminta semula wang saya dan akan ambil tindakan jika dia gagal memulangkannya,” katanya.

Waheeda berkata, Mr S mengamuk dengan tindakannya tetapi dia mengembalikan semula wang RM3,000 itu.

“Nasihat saya pada artis lain, jika dihampiri lelaki menyerupai keterangan berkaitan Mr S, jangan layan walaupun dia menawarkan untuk membuat album, rakan kongsi perniagaan dan pelbagai lagi.

“Ramai menjadi mangsanya, termasuk ahli perniagaan. Saya bersyukur kerana walaupun diperdaya, tetapi berjaya mendapatkan kembali wang itu,” katanya.

KUMPULAN NASYID DEVOTEES

ABDUL Halim Ahmad , 23, yang menjadi jurucakap Devotees berkata, Mr S bertanggungjawab menubuhkan kumpulan nasyid itu.

Namun, katanya, sepanjang di bawah pengurusan Mr S, mereka umpama ‘katak di bawah tempurung’ dan diperas habis-habisan.

“Sepanjang lebih setahun di bawah Mr S, kami melalui tempoh sukar. Dia ‘kebas’ kebanyakan duit ‘show’ dan royalti kami yang mencecah ribuan ringgit.

“Apabila kami meminta hak kami pelbagai alasan diberi, antaranya dapat cek tendang dan belum dapat bayaran. Beberapa kali kami kesan penipuannya, antaranya kami kesan surat mengatakan pembayaran dimasukkan ke akaunnya, tetapi dia beritahu belum dapat bayaran,” katanya.

Menurut Abdul Halim, dua komputer riba anggota Devotees bernilai kira-kira RM5,000 turut dikebas.

“Kami turut menjadi sasaran pihak yang dia berhutang. Antaranya, kami pernah menempah baju di sebuah butik, tetapi wang yang kami beri dikebas, menyebabkan pemilik butik itu meminta bayaran daripada kami,” katanya.

Selain Abdul Halim, Devotees dianggotai Adi Akmal Sehrom, Ahmad Shauqi Abu Kasim dan Mohammad Mohd Tawil.

KUMPULAN NASYID NICE

MEWAKILI tiga lagi anggota Nice, Mohd Izwan, 21, berkata pengalaman ditipu dan dipermainkan Mr S sangat banyak.

“Sebelum rahsia terbongkar, Mr S mengaku anak orang kaya. Kami selalu dipaksa ikut dia membeli-belah. Kami lihat dalam tempoh sehari, berkali-kali dia mengeluarkan wang di mesin ATM dan kehidupannya mewah,” katanya.

Mohd Izwan berkata, Mr S banyak membuat janji palsu, antaranya album NICE ada pembeli tetap untuk 50,000 unit, justeru dia membayangkan Nice akan memperoleh pendapatan lumayan, namun janji itu dusta semata-mata.

“Satu lagi penipuan yang dibuat, dia beritahu album Nice siap sepenuhnya pada Jun 2007, tapi dia tunda dan banyak kali beri tarikh palsu untuk pelancaran.

“Apabila disiasat, rupa-rupanya perbincangan belum dibuat dengan syarikat pengedar album. Namun pada Februari 2008, kami berjaya juga lancarkan album, itupun selepas dia disingkir daripada syarikat kami bernaung,” katanya.

Menurut Mohd Izwan, selepas Mr S disingkir dan menghilangkan diri, Nice mampu ‘bernafas’ kembali dan berusaha bangkit semula.

“Kami dalam proses pembungkusan semula album dengan penambahan tiga lagu baru. Kami juga baru selesai fotografi bersama Epilogue Creation di sekitar Bandar Melaka dengan tajaan penuh syarikat itu.

“Kami turut mendapat tajaan pakaian selama setahun daripada Smartmaster Suit dan The Grass Jeans,” katanya.

Selain Mohd Izwan, Nice dianggotai Wan Mohd Taqiuddin, 23, Muhammad Afiq Hamdan, 21, dan Muhammad Safwan, 19.

KUMPULAN INFINATEZ

ANGGOTA Infinatez, Mohd Andi Ariffin Merican atau Andy, 26, mengakui tersalah pilih syarikat untuk bernaung kerana tidak tahu latar belakang Mr S.

Andy berkata, mereka terpedaya dengan janji manis Mr S sehingga tertarik bernaung di bawah Mr S yang menubuhkan syarikat Euphonious Entertainment (M) Sdn Bhd.

“Selepas beberapa bulan bernaung di bawah Mr S, satu demi satu rahsianya terbongkar. Selepas menemui beberapa mangsanya, baru kami tahu Mr S penipu.

“Pernah satu ketika, ketika mahu bersemuka dengannya, dia lari menerusi bumbung rumah dan ketika itu kami dapat banyak bahan bukti dia penipu. Namun, bukti itu hilang selepas dia suruh beberapa orang mencurinya semula,” katanya.

Menurut Andy, Mr S menggunakan nama Infinatez untuk memperdaya beberapa individu.

“Mr S menggunakan nama kumpulan kami dengan taktik kononnya dia ada beberapa projek besar membabitkan Infinatez yang pasti memberi pulangan berganda.

“Akibatnya ada yang tertipu, antaranya rakan ibu saya yang memberi Mr S RM100,000 untuk projek palsu dijanjikannya,” katanya.

Andy berkata, berdasarkan maklumat diterima, Mr S aktif melakukan penipuan dan perkara paling dibimbangkan adalah Mr S menggunakan nama Infinatez untuk menipu.

Justeru, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya meletakkan amaran mengenai Mr S di forum laman web Infinatez di alamat www.infinatez.com.

PEMILIK NAZZ MUSIC ENTERTAINMENT, NAZRI ABDUL RAHMAN, 37

“PENGALAMAN mengenali penipu ini akan dijadikan pengajaran yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup saya,” kata Nazri.

Menurutnya, Mr S banyak menipunya sehingga dia menanggung beban tekanan dan hutang.

“Saya setuju melabur pada asalnya untuk projek pembelian tanah di Pulau Tioman bagi pembinaan chalet, tetapi tanah entah ke mana, dia datang dengan projek baru. Dia maklumkan kepada saya mengenai rakan kongsi di DME Production (Kumpulan Devotees) sebelum menubuhkan Nazz Music Entertainment (Nazz Music).

“Sebagai rakan kongsi, modal sepatutnya dikeluarkan kedua-dua pihak. Saya keluarkan modal awal RM100,000 dan untuk modal daripada dia, dia beritahu akan beri selepas mendapat royalti kumpulan nasyid Devotees RM150,000, tetapi apabila disiasat, royalti itu ‘dikebasnya’.”

Nazri berkata, dia mengeluarkan modal sejak Jun 2006 tetapi pejabat ‘tak nampak bayang’ hinggalah pada Mac 2007, pengubahsuaian mula dibuat dan pejabat mula beroperasi April 2007.

“Saya memberi RM70,000 untuk pendahuluan pembelian rumah bagi kegunaan artis dan kakitangan syarikat, tetapi duit tidak tahu ke mana. Apabila rahsia terbongkar, rupa-rupanya rumah diduduki hanya rumah sewa, malah ia diubahsuai sehingga memberi keuntungan kepada tuan rumah.

“Sehingga September 2007, saya mengeluarkan kos lebih RM400,000 dan menuntut dia pula keluarkan modal. Bagaimanapun dia maklumkan pihak Nazz Music akan dapat pendahuluan royalti daripada EMI Music sebanyak RM150,000, tetapi rupa-rupanya dia hanya buat cerita palsu,” katanya.

Menurut Nazri, bagaikan mahu menghabiskan semua wangnya, dia memberi harapan baru kononnya mendapat kontrak pasaran dan promosi album Nice di Indonesia menerusi perjanjian dengan syarikat penerbitan terkenal, MD Entertainment.

Bagaimanapun, katanya, Mr S memberitahu perlu mengeluarkan modal sehingga RM300,000.

“Mr S meminta RM300,000 sebagai sebahagian daripada kos percetakan cakera padat yang akan dihantar ke Indonesia. Mr S memberitahu dalam tempoh 45 hari selepas kontrak ditandatangani, pihak MD Entertainment akan membayar 50 peratus daripada jumlah RM7.5 juta sebagai wang pendahuluan royalti pengedaran album di Indonesia.

“Kerana pulangan dijanjikan lumayan dan saya perlu suntikan modal untuk perniagaan saya yang banyak digunakan untuk melabur di dalam Nazz Music, saya serah RM300,000 kepadanya secara berperingkat,” katanya.

Nazri berkata, bagi meyakinkannya, Mr S serahkan salinan kontrak yang ditandatangani antara Mr S dengan Jamal Hassan dari MD Entertainment.

Bagaimanapun, katanya, selepas 45 hari, wang dijanjikan tiada dan Mr S pula menghilangkan diri.

“Saya menghubungi Jamal Hassan dari MD Entertainment dan syarikat percetakan terbabit, tetapi mereka menafikan sebarang urus niaga dengan Nazz Music, malah tidak mengenali Mr S.

“Kerana penipuan itu saya berjaya gugurkan dia sebagai ahli lembaga pengarah dan memindahkan saham dia yang dia tak keluarkan satu sen pun kepada rakan. Namun, dia pandai putar belit fakta dan melagakan saya dengan rakan kongsi baru sehingga meletakkan keadaan saya yang menipu dan saya yang buat apa yang dia buat selama ini,” katanya yang percaya Mr S mengamalkan ilmu hitam.

Menurut Nazri, dia sekali lagi tertipu apabila Mr S mendakwa Ahmad Dhani dari kumpulan Dewa, Indonesia bersetuju memberi lagu untuk Nice.

Katanya, Mr S mendakwa mempunyai hubungan baik dengan Ahmad Dhani.

“Saya keluarkan wang sehingga RM15,000 kepada Mr S, tetapi Mr S beritahu kononnya Ahmad Dhani minta RM30,000, walhal RM15,000 itu dia kebas.

“Kes itu sama juga seperti perancangannya untuk NICE berduet dengan penyanyi, Nash. Saya bayar RM7,000 kepadanya apabila dia beritahu Nash bersetuju, tetapi saat-saat akhir dia beritahu Nash minta RM17,000 pula, walhal dia yang minta jumlah itu,” katanya.

Menurut Nazri, Mr S turut bertindak seperti samseng apabila menceroboh pejabatnya bersama 10 ‘orang upahan’.

“Ketika itu saya di luar negara kerana urusan perniagaan dan hanya seorang kakitangan ada di pejabat. Mr S mengambil alih pengurusan syarikat seketika dan mengambil dokumen penting syarikat untuk menghapuskan bukti.

“Bagaimanapun apabila saya pulang, dengan bantuan polis saya berjaya ambil alih semula syarikat,” katanya yang membuat sekurang-kurangnya tiga laporan polis untuk penipuan dan tindakan ala samseng dilakukan Mr S.

USAHAWAN, AZMAN, 28

AZMAN adalah mangsa terbaru Mr S. Menurut Azman, dia mengenali Mr S selepas pemuda itu menemui ibu bapanya untuk menyewa rumah.

“Ibu bapa saya mengiklankan sebuah rumah kami untuk disewakan. Mr S menemui ibu bapa saya untuk menyewa rumah itu.

“Ketika bersembang, Mr S mempelawa saya membuka sebuah syarikat menguruskan acara dan dia bercerita mengenai kisah kehebatannya menguruskan beberapa projek dan artis,” katanya.

Azman berkata, tertarik dengan janji manis Mr S dia bersetuju menjadi rakan kongsi Mr S dengan menubuhkan sebuah syarikat.

“Kerana terlalu mempercayainya, saya serahkan RM20,000 kepadanya untuk membuka syarikat.

“Selepas membuka syarikat, Mr S beritahu dia mendapat kontrak menguruskan acara untuk sebuah syarikat di utara tanah air, hujung tahun lalu, membuatkan saya bertambah yakin terhadapnya,” katanya.

Menurut Azman, untuk acara itu, Mr S memberitahu dia mendapat tajaan dan syarikat hanya perlu mengeluarkan wang dalam jumlah sedikit.

“Acara berjalan lancar, tetapi selepas itu banyak pihak menuntut hutang daripada saya. Pengangkutan tidak dibayar, penginapan tidak dibayar, sistem audio tidak dibayar dan artis yang membuat persembahan juga tidak dibayar.

“Jumlah hutang berkenaan semuanya RM57,000. Saya cuba mencari Mr S, tetapi dia menghilangkan diri,” katanya yang yakin Mr S menggunakan ilmu hitam.

PENSYARAH, MAHU DIKENALI SEBAGAI DR ZAMRI, 57

PEMBABITAN Dr Zamri bermula ketika Mr S menubuhkan Devotees. Menurut Dr Zamri, beliau dipelawa menjadi rakan kongsi Mr S untuk menaikkan nama kumpulan nasyid itu.

“Mr S berjanji perkongsian modal sebanyak 50-50. Saya memberinya RM30,000, tetapi dia tidak mengeluarkan satu sen pun.

“Malah, dia menyuruh saya memasukkan wang itu ke dalam akaunnya dan bukan akaun syarikat. Saya menyuruhnya membuka akaun syarikat, tetapi dia berdolak dalik dengan pelbagai alasan,” katanya.

Dr Zamri berkata, dia terlalu percayakan Mr S sehingga berhabis RM160,000 untuk penerbitan album Devotees.

“Jika diikutkan, jumlah itu terlalu besar. Bukan saja wang tunai, tetapi kad kredit saya turut digunakan Mr S.

“Kesudahannya saya kehabisan wang simpanan dan menanggung hutang. Selepas saya mengetahui tembelangnya, Mr S menghilangkan diri,” katanya yang membuat laporan polis. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wawancara dengan INDRAYANTO KURNIAWAN Sutradara Filem Saus Kacang

HP Expands iPAQ Lineup with 3G Smartphones