Pelbagai tajuk animasi kanak-kanak ditayangkan pihak stesen televisyen untuk menghiburkan penonton cilik. Ada yang menonjolkan kisah adiwira, tak kurang juga mengetengahkan lagu-lagu dan pelbagai versi menarik yang menarik perhatian golongan kanak-kanak.
Seiring dengan tujuan mahu memberikan alternatif lain selain daripada menambah pengetahuan agama menerusi buku-buku agama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan animasi kanak-kanak berlatarkan kisah-kisah Nabi menerusi penceritaan watak seorang kanak-kanak bernama Adam yang mengembara menempuhi pelbagai peristiwa tentang Nabi.
Kartun Animasi Islam Kanak-Kanak : PENGEMBARAAN ADAM mulai 3 Februari Ini di TV1
Disiarkan mulai 3 Februari ini, setiap Jumaat dan Sabtu, pukul 10.30 pagi di TV1, “Pengembaraan Adam” mengangkat cerita mengenai seorang budak bernama Adam yang berusia 12 tahun. Perwatakkan Adam adalah seorang yang gemarkan cabaran, agresif dan sikap ingin tahu. Dalam satu kejadian, Adam telah jatuh dari sebatang pokok.
Apabila Adam tersedar dari jatuhnya didapati dirinya berada di atas padang pasir yang luas seperti tiada penghujungnya, di situlah Adam bertemu Al-Mubaligh. Maka bermulalah perjalanan pengembaraan Adam bersama Al-Mubaligh menempuhi pelbagai peristiwa, tentang Nabi Nuh dan bahteranya, peristiwa tentang kaum-kaum yang di hapuskan iaitu kaum ‘Ad pada zaman Nabi Hud a.s, Kaum Tsamud zaman Nabi Saleh a.s, kaum Madyan zaman Nabi Syuaib a.s, Bani Sadum zaman Nabi Luth a.s.
Peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar dan bagaimana Raja Namrud diseksa, cerita tentang Nabi Musa a.s serta kehancuran Firaun. Dalam perjalanan pengembaraan itu Adam juga dapat merasakan suatu zaman yang begitu indah dan harmoni iaitu pada zaman Nabi Sulaiman a.s sehinggalah peristiwa tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Perjalanan cerita yang dipaparkan ini akan membawa para penonton kepada kesedaran pengetahuan dan kebenaran tentang perjalanan kehidupan manusia di atas muka bumi ini agar menjadi satu iktibar serta peringatan semasa menjalani kehidupan. Perjalanan cerita disusun secara episod mengikut aliran perkembangannya supaya mudah difahami secara keseluruhan. Selain dari itu paparan seni visual dan pergerakan dalam animasi ini amat diambil kira supaya menjadi daya tarikan yang bakal dinikmati oleh segenap lapisan penonton.
Luangkan masa menyaksikan 10 episod animasi ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.