“Cuba laki (suami) pakai kereta Wira buruk dah lama bini (isteri) lari.”
Itu komen netizen yang ditujukan kepada usahawan yang juga penaja Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Eriyca Baiduri di aplikasi TikTok hingga tular.
Eriyca, 33, atau mesra disapa Madammu berkata, ketika berkahwin pada 2015, suaminya, Azri, 44, hanya lelaki biasa dan bukan kaya raya.
“Sebenarnya saya taklah marah dan geram. Saya faham, tak semua orang kenal kita, tak semua orang tahu kisah kita dan tak semua orang tahu cerita kita. Cuma, apa yang saya boleh katakan, saya dengan suami ini kami berkahwin daripada tak ada apa apa dan bermula daripada sederhana.
“Saya berkahwin dengan suami bukan sebab duit semata-mata. Tak semua perempuan berkahwin sebab duit. Saya berkahwin dengan suami sebab dia baik. Dia akan membahagiakan dan menjaga saya dengan baik. Jadi, itu yang sebenarnya saya nak dalam rumah tangga. Masa saya kahwin dengan dia, walaupun waktu itu dia biasa-biasa tapi saya percaya dengan budi bicara, karakter dia yang sangat melindungi, saya tahu dia boleh jaga saya.
“Saya tahu rezeki boleh dicari kemudian dan boleh cari bersama-sama. Alhamdulillah, hari ini daripada kami biasa-biasa kami dapat mencapai apa yang kami nak. Sebab itu dalam rumah tangga ini niatnya kena betul. Jadi, saya okay saja dengan netizen itu,”
– Eriyca
Menurut Eriyca, dia dan suami bermula dari tinggal di rumah sewa hingga dapat membeli rumah sendiri selain dapat membina empayar pernigaan jenama Noir Health & Beauty (Noir).
Terdahulu, Eriyca membalas pertanyaan pengguna itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di TikTok yang memaparkan dirinya bersama suami di dalam kereta.
Hantaran video itu mencecah lebih 1.1 juta tontonan, mendapat lebih 51,000 tanda suka, lebih 1200 komen dan lebih 600 perkongsian semula.