DATO’ NORHYATI ISMAIL, PENGAMAL MEDIA PERTAMA DITAULIAH PEGAWAI KEHORMAT TUDM
Buat pertama kalinya, pengamal media dianugerahkan Tauliah Pegawai Kehormat oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Penerimanya Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Dato’ Norhyati Ismail dilantik sebagai pegawai kehormat dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM).
Pelantikan Norhyati ini membawa gelaran Leftenan Kolonel (Kehormat) berkuat kuasa mulai 1 Mac 2012. Upacara pemakaian pangkat kepada Leftenan Kolonel (Kehormat) Dato’ Norhyati ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud di Angkasapuri pada 22 Mei 2012 dan disiarkan secara langsung menerusi program Selamat Pagi 1Malaysia.
Penganugerahan ini dibuat mengikut Seksyen 198(5) Akta Angkatan tentera 1972 atas limpah kurnia dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Bagi Leftenan Kolonel Dato’ Norhyati, penganugerahan ini satu pengiktirafan yang besar buat dirinya dan semua pengamal media tempatan.
“Anugerah ini akan menjadi pencetus hubungan rapat antara media dengan TUDM. RTM akan memainkan peranan dengan efektif bagi mendekatkan TUDM dengan orang awam. Kerjasama erat akan dijalinkan antara kedua-dua pihak.”
Sementara itu, bagi Jeneral Tan Sri Rodzali penganugerahan ini sebagai menghargai jasa dan kerjasama yang diberikan RTM khususnya menjadi medium penyaluran maklumat berkenaan TUDM kepada masyarakat.
“Dato’ Norhayati kini menjadi keluarga TUDM. Kami berasa bangga atas pelantikan ini. Ini merupakan satu penghargaan kepada media tempatan.”
Sebagai pegawai tauliah kehormat, Norhyati diberi penghormatan dan keistimewaan sejajar dengan pangkat tentera yang disandang oleh beliau seta dibenarkan memakai semua jenis pakaian seragam tentera TUDM semasa.
Penganugerahan Pegawai Kehormat kepada YBhg Dato’ Norhyati dilihat amat siginifikan bagi mengeratkan hubungan kerjasama di antara TUDM dan Jabatan Penyiaran Malaysia terutamanya menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan imej jabatan kerajaan.
Bagi merealisasikan keberkesanan penyaluran maklumat berkenaan fungsi dan peranan agensi-agensi keselamatan negara, hubungan kerjasama antara TUDM dengan Jabatan Penyiaran Malaysia selaku agensi penyiaran rasmi kerajaan dilihat sebagai satu langkah yang tepat.