Tiada yang lebih manis apabila seorang peminat bola sepak seperti Budiey dapat peluang melancong ke UK untuk melawat stadium di sana. Walaupun menggalas tugasan di bahu, namun jauh di sudut hati Budiey ambil peluang untuk menimba pengalaman unik yang cukup berharga.
Orang kata, jauh berjalan luas pengalaman. Walaupun empat hari itu satu tempoh yang sekejap, namun bagi Budiey kenangan manis ini akan diingat sampai bila-bila. Ye lah, kalau sebelum ni, Budiey hanya menonton di kaca TV sahaja, tapi kali ini segalanya di depan mata. Wow, macam tak caya, you!
Apatah lagi, ini adalah kunjungan pertama kali di Stadium Etihad, Manchester, United Kingdom yang terletak kira-kira 15 minit daripada pusat bandar Manchester. Ia cukup bermakna kerana jemputan untuk menikmati pengalaman bersama pasukan bola sepak Inggeris Manchester City kali ini diterima daripada penaja rasmi Manchester City iaitu Dashing For Men. Terima kasih Dashing!
Budiey rasa sangat bertuah kerana menjadi antara empat orang media yang diterbangkan ke Manchester. Teruja tu memang tak boleh diucap dengan kata-kata. Memang masing-masing super duper excited. Penat dan jetlag terbang berada di awan biru selama 14 jam tidak terasa apabila dapat menjejakkan kaki di pintu masuk utama stadium. Cukup megah dan sekaligus menusuk aura kebanggaan ke dalam diri Budiey. Pastinya di sini banyak kenangan manis dan pahit buat penyokong Manchester City.
Ini adalah kali kedua sebenarnya Budiey menjejakkan kaki di bumi Manchester. Namun, kali pertama melangkah ke Stadium juara bertahan Liga Perdana England (EPL) adalah salah satu agenda penting dalam siri jelajah selama empat hari di bumi Manchester yang cukup dingin ini.
Walaupun kehadiran kami hanya sekadar lawatan, namun dalam hati pula terdetik, jika tidak kerana Dashing pastinya Budiey tak dapat jejakkan kaki di sini. Apatah lagi, kehadiran kami disambut dengan senyuman mesra oleh Ketua Pemasaran Kerjasama Serantau, City Football Marketing, Nick Pinder.
Pose dan sesi bergambar beramai-ramai menjadi antara agenda wajib semasa kami tiba di perkarangan stadium ini. Memang tak sah la kan kalau tak bergambar kat sini. Datang jauh-jauh pula kot, takkan tak nak lepaskan peluang ini. Bukan senang. Bersama Pinder, kami merakam foto kenangan di hadapan stadium yang berdiri kukuh ini.
Selepas puas bergambar, kami kemudian dibawa oleh seorang pemandu pelawat senior, Peter Clarke untuk pusing-pusing tour melihat apa yang menariknya Stadium Etihad ini. Clarke, seorang penyokong tegar Man. City yang berusia dalam lingkungan 50-an dilihat begitu mesra dan peramah orangnya. Semasa beliau menerangkan tentang sejarah stadium yang siap dibina sepenuhnya pada 2002 ini, senyumannya tak lengkang dari wajahnya.
[dropcap]B[/dropcap]ahagian pertama dilawati, pastinya di kawasan utama dalam stadium iaitu padang dan tempat penonton. Menurut Clarke, stadium yang mempunyai kapasiti 47,805 tempat duduk ini dibina bersempena dengan penganjuran Sukan Komanwel 2002. Semasa kami sampai, Budiey dapat lihat kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik-taraf sedang giat diadakan. Dikhabarkan stadium ini dalam proses untuk menambah jumlah penonton kepada 55,000 menjelang musim 2015/2016.
Satu lagi fasa pembinaan tempat duduk jika diluluskan akan membolehkan memuatkan kira-kira 62,000 penonton.
“Stadium sedang menjalani dua perubahan besar. Jika buat masa ini kita mampu menempatkan 48,000 penonton pada satu-satu masa, namun melalui kerja pembesaran zon tempat duduk ini, kapasiti dapat ditingkatkan kepada 62,000 penonton,†jelas Clarke.
Budiey juga berpeluang untuk melangkah masuk ke bilik sidang media dan dapat merasakan sendiri aura para media sukan bertungkus lumus menyiapkan kerja mereka di sini. Selain mendapat pengalaman yang jelas bagaimana sidang media di sini berlangsung, Budiey juga teruja dengan suasana dekorasi yang begitu kemas dan bersih dalam bilik media ini.
Selepas merakam gambar di sekitar tempat duduk penonton yang dipenuhi dengan kerusi biru itu, kami pula beralih ke bilik kecergasan para pemain Manchester City sebelum perlawanan berlangsung. Budiey difahamkan, kira-kira satu jam setengah sebelum perlawanan bola bermula, para pemain akan masuk ke bilik ini untuk menjalani prosedur pemanasan badan. Bak kata orang tu, sebelum ke padang, pemain kenalah warming up dulu dengan senaman ringan. Ini semua adalah untuk mengelakkan sebarang kecederaan.
Budiey dapat lihat selain peralatan senaman, satu gawang gol turut ditempatkan di penghujung sudut. Pastinya ada motif tersendiri mengapa tiang gol diletakkan di sini. Ianya adalah untuk memberi peluang kepada pelawat khususnya kumpulan pelajar sekolah merasai sendiri pengalaman untuk menendang bola di dalam stadium ini.
[dropcap]N[/dropcap]amun, bagi peminat Manchester City pula, pastinya jaring gol ini pula ada nilai sentimental tersendiri apabila jaring yang sama ketika kapten Manchester City Vincent Kompany menjaringkan gol kemenangan ke atas Manchester United dengan keputusan 1-0 pada musim 2011/2012.
Jaring ini masih lagi disimpan sebagai satu bentuk peringatan dan memori kepada kejayaan bersejarah. Dikatakan, jaringan Kompany itu membolehkan Manchester City mengungguli tangga teratas EPL, meninggalkan MU di tangga kedua menerusi perbezaan jaringan.
Apa-apa pun, menurut Clarke, jaring yang paling bernilai dalam sejarah bola sepak Manchester City ialah jaring yang digunakan ketika perlawanan terakhir EPL pada musim serupa ketika menentang Queen’s Park Ranger (QPR) di Etihad. Tercatat dalam sejarah, penyerang berbisa Manchester Sergio Aguero menghadiahkan gelaran juara EPL buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun kepada pasukannya selepas menjaringkan gol ketiga pada masa tambahan, sekali gus mengakhiri permainan dengan keputusan 3-2.
Jaring berharga itu bagaimanapun dikatakan telah dijual menerusi satu bidaan amal yang dijalankan secara tertutup.
“Pemenang bidaan itu pernah mengikuti lawatan stadium yang dipimpin oleh saya. Dia merupakan seorang usahawan dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Bagi mendapatkan jaring tersebut, lelaki itu sanggup membayar 10,000 pound (RM526,28) dan kini dijadikan perhiasan di dinding pejabatnya,†imbas Clarke.
Kalau dapat dilihat di bilik ini, ada beberapa basikal senaman dan adalah menjadi rutin kecergasan pemain bola sepak untuk mengayuh basikal bagi mencergaskan otot-otot dan mencapai suhu badan ideal bagi beraksi selama 90 minit di atas padang. Menurut Clarke yang begitu pakar dalam bidang kecergasan ini, pemain perlu berbaring di atas tikar biru dan menjalani senaman regangan dengan bimbingan pakar fisioterapi yang terlatih.
[pullquote]Kemudian, selepas sesi pemanasan badan, pemain akan berkumpul di bawah terowong sebelum menuju ke padang untuk sesi pemanasan badan terakhir kira-kira 15 minit sebelum perlawanan. Haaa… pada masa inilah penonton yang dah memenuhi stadium berpeluang untuk melihat pemain melakukan aksi-aksi menghantar, menyepak dan mengelecek bola. Mereka akan kembali ke terowong untuk memulakan perlawanan.[/pullquote]
Selepas beberapa lama di bilik kecergasan, kami dibawa pula ke bilik persalinan. Semasa melalui lorong menuju ke bilik persalinan, Budiey dapat melihat gambar-gambar kenangan yang digantung di kiri kanan sepanjang laluan. Sikit sebanyak Budiey dapat belajar tentang kronologi dan sejarah Manchester City.
Gambar-gambar potret yang tergantung di setiap dinding menjelaskan lagi semangat juara bertahan ini pada lewat 1960-an dan awal 1970-an dipaparkan pada kebanyakan dinding stadium bagi mencetuskan kepada pemain dan pegawai pasukan.
Dalam banyak-banyak gambar, Budiey tertarik dengan gambar dua pemain memapah seorang lagi pemain yang tersenyum sambil memegang lehernya. Difahamkan, foto ini diambil semasa perlawanan akhir Piala FA England tahun 1956 selepas tamat perlawanan antara Man City dan Birmingham City yang mana kemenangan berpihak kepada Man City. Menurut cerita dari mulut Clarke, pemain yang dipapah itu bernama Bert Trautmann, bukan calang pemain kerana ia adalah pemain lagenda Man City yang menjadi penjaga gol dari tahun 1949 hingga 1964. Trautman dikhabarkan telah meninggal pada tahun lalu di usia 91 tahun.
Pada perlawanan berkeputusan 3-1 itu, Trautmann mengalami kecederaan di leher selepas bertembung dengan seorang pemain Birmingham, Peter Murphy pada minit ke-75.
Senario bola sepak ketika itu tidak membenarkan penggantian pemain. Peranan Trautmann selaku penjaga gol juga menambah kebimbangan pasukan. Namun, Trautmann memilih untuk terus beraksi dan berjaya menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya pasukan lawan sepanjang baki 15 minit perlawanan.
“Tiga hari selepas kejadian itu, lehernya masih sakit dan dibawa ke hospital. Selepas diperiksa, doktor mendapati tulang lehernya patah di lima bahagian. Bayangkan bagaimana dia mampu bertahan dalam kesakitan tersebut?â€
Keterujaan Budiey berada di tahap maksima semasa berada di bilik persalinan. Bayangkan apabila kita dapat melihat dengan mata sendiri di jersi pemain siap dengan nama pemain yang digantung di belakang setiap kerusi. Perasaan Budiey ketika ini memang agak sukar untuk digambarkan sebenarnya. Perasaannya lain macam. Cukup ekslusif juga lawatan kali ini. Untunglah bagi peminat dan penyokong Man City kalau dapat menjejakkan kaki di sini.
[dropcap]P[/dropcap]eluang ini menjadikan Budiey rasa seperti pemain sebenar. Walaupun tidak berpeluang menyaksikan perlawanan secara langsung di Stadium Etihad, saya dan rakan berkesempatan menghadiri majlis pengenalan pasukan utama yang berlangsung di dewan Manchester Central di saksikan kira-kira 5,000 penyokong setia The Citizens.
Budiey kira, jika anda mahu ke Manchester, jangan lupa untuk menjejakkan kaki di Stadium Etihad. Sekurang-kurangnya, jadual anda di sini tidaklah membosankan. Bolehlah Budiey simpulkan daya tarikan utama di sini ialah bangunan stadiumnya yang menjadi mercu tanda dan daya tarikan pelancong. Rata-rata penonton jelas teruja apabila mereka dipertontonkan kembali perjalanan pahit manis anak buah Manuel Pellegrini sebelum meraih kejayaan merangkul trofi Liga Perdana buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
[pullquote]Bagi Budiey, apa yang menariknya tentang Stadium Etihad, ialah ia merupakan stadium pertama di UK yang mengintegrasi WiFi percuma untuk penyokong yang hadir menonton perlawanan. Haa, senang la nak update dan buat live update kan? Ambik gambar terus upload ke Instagram dan Facebook.[/pullquote]
Bukan itu sahaja, pada tahun lalu, satu aplikasi telefon pintar diperkenalkan khusus buat penyokong pasukan lawan yang berkunjung ke Etihad. Penyokong pasukan Barcelona merupakan kelompok terawal menikmati faedah aplikasi tersebut.
Spesifikasi aplikasi tersebut membolehkan mereka memperoleh informasi lebih terperinci berkenaan stadium, fasiliti, persekitarannya dan lokasi-lokasi menarik di Manchester.
Pada tahun ini pula, Man City memperkenalkan teknologi baharu dan berterusan menambah mutu infrastruktur bersama rakan rasmi LG. Dua skrin jumbo baru sahaja dipasang di dalam stadium. Paparan berjalur LED (LED ribbon display) baharu di tingkat dua tempat duduk yang pertama kali digunakan dalam EPL.
Selain itu, Manchester City akan terus berkembang maju dan akan terus ditransformasi menjadi bandar daya tarikan seluruh dunia apabila taman tema sekitar stadium ini akan dibina untuk pengalaman yang lebih unik kepada penyokong.
Secara kesimpulannya, Budiey dapat rasakan kepuasan kerana dapat melawat lokasi utama stadium seperti bilik persalinan, bilik sidang media, bilik warm up dan sudah pasti melihat secara dekat padang dengan rumput yang segar menghijau. Jelas terbukti, Stadium Etihad adalah simbol semangat tersendiri dan kebanggan penyokong The Citizens.