Dalam Harian Metro ini, bibik aka orang gaji di rumah Ummi Nazeera menjadi saksi pertengkaran antara pelakon itu dengan Remy Ishak. Berikut ini adalah pengakuannya dan korang boleh baca berita selanjutnya di sini.
Teruk gak kena ni…
“Saya nampak Remy pusing badan dan melibas tangan dengan laju ke arah muka kiri cik muda (Ummi Nazeera),” kata seorang saksi kes pergaduhan antara pelakon drama Nur Kasih dan teater Natrah, Remy Ishak, 27, dengan pelakon remaja, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 19.
Tindakan Remy itu menyebabkan Ummi terjatuh, kata pembantu rumah pelakon remaja berkenaan, Susi Sumarni, 24.
Dia tampil membuat pengakuan di hadapan ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, malam tadi, semata-mata mahu menjelaskan kedudukan sebenar kejadian yang berlaku di bawah kondominium di Jalan Ampang, dekat sini, 4 Disember lalu.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tangga kondominium berkenaan.
Sebelum ini, akhbar hanya melaporkan kenyataan Remy yang mendakwa dia diserang sekumpulan tujuh lelaki sehari selepas kejadian pertengkarannya dengan Ummi, 4 Disember lalu, namun tiada penjelasan balas daripada Ummi.
Susi berkata, selepas kejadian itu Remy datang kepadanya di tangga dan sempat berpesan sebanyak dua kali supaya tidak memberitahu kepada sesiapa, malah menyuruhnya mengambil bedak asas bagi menutup luka di muka Ummi.
“Dua kali Remy pesan supaya tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa sebelum menyuruh saya bantu mengangkat cik muda yang jatuh terlentang dan mengambil bedak asas di rumah untuk menutup luka. Saya hanya menurut perintah dan membantu cik muda yang mengadu kesakitan akibat bengkak di muka kiri dengan luka dan lebam sekitar matanya,” katanya yang ditemui di restoran milik Maziah di Danau Kota di sini, semalam.
Pertemuan itu diatur bagi mendapatkan penjelasan sebenar insiden berkenaan yang difahamkan bukan kejadian pertama, sebaliknya Ummi pernah dicederakan ketika mereka bertengkar.
Ditanya bagaimana dia boleh berada di tempat kejadian, warga Indonesia itu memberitahu dia diarahkan tuan muda (abang Ummi) supaya mencari adiknya di bawah kondominium di Jalan Ampang.
“Selepas cik muda turun, tuan muda suruh saya meninjau keadaan cik muda, tapi dia minta saya duduk di tepi memerhatikan dari tangga,” katanya
Berikutan tidak tahan dengan nasib malang menimpa anaknya, Maziah menghantar surat terbuka berbentuk pesanan kepada Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan keadaan. Antara kandungan surat itu menyebut, dia tidak menghalang persahabatan anaknya seperti didakwa Remy sebagai hubungan antara dua darjat, sebaliknya mempersoalkan tindakan aktor popular itu memukul anak kesayangannya.
Keluarga Ummi juga membuat laporan polis pada awal pagi 5 Disember dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Puteri. Sebelum insiden pukul itu, Remy dikatakan bertengkar dengan Ummi hingga menyebabkan kecederaan pada aktres remaja terbabit, sebelum pelakon berkenaan dipukul sekumpulan tujuh lelaki di koridor bilik persalinan Istana Budaya pada malam keesokannya.
Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Remy mengenai surat yang dihantar ibu Ummi kepadanya gagal kerana talian telefon bimbitnya dimatikan. [sumber]