Berbeza dengan karya-karya sebelum ini yang tertumpu pada kumpulan puisi, cerpen dan eceran, kali ini Uzair hadir bersama Kumpulan Anekdot ‘Selembar Dongeng Yang Nyata’.
Anekdot secara umum merupakan kisah yang ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian yang biasanya menceritakan keadaan menarik atau lelucon tetapi benar secara ringkas. Ia teramat pendek, selalunya dua hingga empat perenggan yang digunakan untuk menjelaskan sesuatu perkara.
Pendekatan ini dibawa dalam naskah Selembar Dongeng Yang Nyata yang mengumpulkan sejumlah kisah ringkas yang membawa pembaca ke zaman pengarang meniti keremajaan sekitar 2008 hingga 2015.
“Saya menulis Selembar Dongeng Yang Nyata semasa masih menuntut di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan. Ketika itu saya banyak menghabiskan waktu dengan menonton banyak filem yang hebat, membuat penilitian terhadap alam remaja, pemerhatian kepada masyarakat dan melalui kehidupan yang agak merunsingkan. Semua hal ini saya tulis di dalam blog dan setelah sedekad saya fikir ia satu hal yang boleh disampaikan kepada pembaca kerana setiap kisah mempunyai jalann penyelesaian yang tersendiri”.
Selembar Dongeng Yang Nyata boleh disimpulkan oleh pengarang sebagai sebuah karya yang tidak klise yang biasanya mengangkat tema cinta sebaliknya megumpulkan kisah kemasyarakatan, persahabatan dan kritikan sosial dalam bahasa kesusasteraan.
“Biasanya cerita sebegini akan banyak didapati dalam buku yang bersifat bersahaja dengan bahasa yang bercampur. Namun saya tetap mengekalkan bahasa sastera yang kemas namun mengangkat tema keremajaan agar pada masa yang sama dapat memberi pendidikan kepada pembaca” sambung Uzair.
WAKILI MALAYSIA KE FESTIVAL KESUSASTERAAN ANTARABANGSA MINANGKABAU 2023
Selama hampir seminggu bermula pada 22 hingga 27 Februari yang lalu, Uzair telah diterbangkan ke Padang, Indonesia untuk mewakili delegasi Malaysia bersama Dato’ Nash, Siso Kopratasa, Roslan Madun dalam sebuah festival sastera terbesar di Padang, Indonesia.
Berlangsung di beberapa lokasi pelancongan antaranya Padang Panjang, Baso dan Bukittinggi, Festival Kesusasteraan Antarabangsa Minangkabau 2023 ini telah mengumpulkan lebih 200 seniman dari serata dunia termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei, Rusia, Jerman, India dan Australia.
Turut dihadiri oleh beberapa profesor dalam negara termasuk dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Islam Malaysia, festival ini memberi tumpuan terhadap perkembangan sastera seNusantara dengan pengisian simposium bahasa oleh profesor dari universiti tempatan dan antarabangsa selain merupakan salah satu usaha memperkasakan kesenian dan kesusasteraan Minangkabau ke peringkat antarabangsa yang diusahakan oleh Satu Pena Sumbar dan SUMBAR Talenta, Indonesia.
Diundang membuat penampilan khas dengan menyampaikan lagu tersohor Minang, Ubekkan Denai dalam Konser Kemuncak IMLF2023, Uzair turut memperkenalkan Kumpulan Anekdot Selembar Dongeng Yang Nyata dalam acara Jumpa dan Sapa ‘Proses Kreatif Penulis’ bersama beberapa penulis terkenal antaranya novelis legenda Pipiet Senja dan Datin Barupawati Utamaju serta menyampaikan buku baharunya kepada direktor festival, Sastri Bakry yang juga merupakan seorang tokoh sastera mapan dari Minangkabau.