KHAS HARI SENIMAN : 2 FILEM (PENDEKAR BUJANG LAPOK DAN MIMPI MOON) DI RTM
Pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei 1973 lalu meninggalkan kesan yang mendalam di hati semua. Lalu sebagai mengenang jasa besar akan kehebatan seorang seniman, pihak kerajaan memilih tarikh 29 Mei setiap tahun mulai 2008 lalu untuk meraikan Hari Seniman.
Filem-filem hasil cetusan idea seniman ulung ini sukar untuk dicari ganti. Tangis hiba, gelak tawa, suka duka yang diangkat sebagai plot latar cerita filem-filem Tan Sri P Ramlee masih terngiang-ngiang dan diterima sehingga kini. Malah tidak pernah jemu untuk ditonton seisi keluarga meskipun diulang berkali-kali.
Untuk itu RTM turut sama mahu mengimbas nostalgia filem klasik buah tangan Tan Sri P Ramlee dengan menghidangkan filem Pendekar Bujang Lapok pada 29 Mei 2010 (Sabtu), jam 10.00 pagi. Manakala keesokannya pula filem Mimpi Moon pada 30 Mei 2010 (Ahad), jam 9.30 malam mengisi slot Sinema Ahad On 2 yang kedua-duanya disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2.
Mana mungkin bagi peminat setia filem-filem arahan dan lakonan beliau dalam Pendekar Bujang Lapok iaitu mengaitkan watak Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di rumah Pendekar Mustar apabila mereka ke sana untuk belajar silat. Ketika di sana, ketiga-tiga sahabat karib ini menaruh hati kepada Ros, anak Pak Mustar. Apabila Ros dilarikan oleh orang kanan Ahmad Nisfu, Ramli, Aziz dan Sudin keluar untuk menyelamatkan Ros.
Menerusi stesen RTM juga disiarkan filem Mimpi Moon arahan Shuhaimi Baba yang sememangnya berjaya membuktikan kreadibilitinya sebagai pengarah filem. Mimpi Moon kisah cinta di antara Moon dan Vina. Kisah cinta remaja yang diwarnai suka dan duka dalam mencari diri. Sepuluh tahun selepas tragedi yang memisahkan pasangan itu, Moon dan Vina kembali ke kampung halaman di Batu Suara, Langkawi, kampung kecil yang mempunyai penduduk yang tidak banyak perkara yang berlaku.
Batu Suara terkenal dengan tempatnya yang menjadi tarikan melalui tradisi perubatan menggunakan ubat “gamat”. Bapa Moon, Dr. Mansoor mengendalikan kajian untuk menaikkan taraf gamat. ‘Gamat Emas’lah yang menyatukan Moon, Vina bersama rakan dan keluarga mereka.
Filem ini membariskan pelakon Rashidi Ishak, Kavita Kaur, Ning Baizura, Datuk Jalaluddin Hassan, Ida Nerina dan Asha Gill.
Luahkan sokongan anda terhadap filem-filem tempatan dalam menyatakan penghargaan terhadap seniman negara dengan tidak ketinggalan menyaksikan dua filem ini, Pendekar Bujang Lapok pada 29 Mei 2010 (Sabtu), jam 10.00 pagi dan Mimpi Moon pada 30 Mei 2010 (Ahad), jam 9.30 malam di TV2.