Selain menggalas tugas sebagai tenaga pengajar, Adib Zahar kini mula mengorak langkah untuk melayarkan sayap dalam bidang seni. Setelah menghasilkan sebuah lagu berjudul AKUR pada 12 Februari 2021 yang lalu dengan kerjasama bersama Fusion Records MY khabarnya Adib Zahar akan meriliskan sebuah lagi lagu berjudul WAKTU pada penghujung tahun ini dengan kerjasama bersama Produksi Karya Positif yang juga merupakan muzik label yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun ini.
Setidaknya, Adib Zahar atau nama sebenarnya Muhammad Adib Aiman Bin Zahariman yang berasal dari Rawang ini dapat merancakkan serta memeriahkan lagi industri seni tempatan yang menggemari genre ini.
Penyanyi muda yang masih berusia 24 tahun ini berkecimpung dalam nasyid sejak sekolah lagi. Namun disebabkan ingin meneruskan pembelajaran di dalam bidang Pengajian Islam (Dakwah), Adib tangguhkan hasrat seketika impiannya dalam mencipta lagu.
Menurut Adib Zahar, lagu AKUR mengisahkan tentang bagaimana kita sebagai manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan diuji pada bila-bila masa oleh Allah S.W.T.
Menyentuh tentang penghasilan lagu AKUR, Adib Zahar menceritakan lagu ini melalui satu proses yang sangat panjang iaitu melalui tiga fasa sehingga mengambil masa lebih kurang 10 tahun dan melibatkan enam orang teman rapat beliau.
“Pada peringkat permulaan, impian untuk melancarkan lagu ini terkubur disebabkan kekurangan dari sudut persediaan vokal dan jugak faktor kurang pengalaman, jadi belum sampai rezeki pada waktu itu untuk ke arah penerbitan dan kami mengambil keputusan untuk mengambil haluan masing masing,”
“Kemudian fasa kedua, pada tahun 2017 sewaktu saya belajar di kolej saya bersama tiga orang lagi terdetik untuk bawa lagu AKUR ini yang sebelumnya dinamakan tajuk HILANGKAH AKU untuk kami nyanyi sekali alang alang kami berada di studio.
Ketika itu saya ubah lirik lagu ini dan kami hanya sempat untuk merakam suara sahaja dan belum ke fasa mixing dan mastering. Tetapi disebabkan kami masih dalam belajar jadi kami terpaksa menunda seketika hasrat tersebut untuk terbitkan lagu ini dan membawa haluan masing masing,”
“Fasa ketiga tahun 2021, saya telah mengubah semula lagu dan juga tajuk daripada HILANGKAH AKU kepada AKUR kerana konsep kehilangan tersebut saya tukarkan lebih kepada konsep kehambaan.
Alhamdulillah lagu ini diterima baik oleh 5 orang yang saya ceritakan tadi sekiranya diberi peluang saya akan kumpul semula mereka untuk berkolaborasi bersama pada masa akan datang, inshaaAllah,”
– Adib Zahar
Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Kuroy dari Karya Positif. Proses rakaman Akur telah dijalankan di Quantize Studio & Production menggunakan khidmat Ramzul Ikbar sebagai jururakam manakala Farred Zane (Damai and Friends) bertindak sebagai vokal latar.
Lagu AKUR menggunakan khidmat Kamarul selaku penerbit. Kamarul yang juga merupakan seorang artis baru sebelum ini telah menerbitkan single pertamanya, KASIH TAK TERLERAI pada Januari 2021 yang lalu dan single keduanya SEPERTI SEMALAM pada November 2021 di Saluran Youtube KARYA POSITIF.
Beralaskan alunan muzik balada, Akur bukanlah sesuatu yang mengecewakan bagi seorang bakat baru seperti Adib Zahar. Formula yang tidak berat menjadikan lagu ini amat mudah dihadam oleh para pendengar.
Walaupun masih baru, namun vokal Adib Zahar ada keunikan tersendiri. Bimbingan daripada Amman (Damai & Friends) serta Farred Zane (Damai & Friends) nyata menjadi. Lenggok vokal Adib Zahar sesuai untuk melodi balada seperti lagu Akur ini.
Menurut Adib, untuk lagu WAKTU yang akan dirilis pada penghujung tahun ini, Adib Zahar mahu mencabar dirinya untuk melantunkan vokal dengan lebih baik.
Fusion Records MY selaku pengedar single AKUR telah pun meriliskannya melalui pasaran digital seperti laman strim, Youtube & Itunes. Sebuah video lirik telah pun dihasilkan dan dimuatkan ke laman youtube Fusion Records MY nanti manakala audio rasmi akan mula tersediia di semua laman strim seperti Spotify, Apple Music, Joox.