Ibarat bulan jatuh ke riba, itulah perumpamaan yang paling sesuai buat Noor Hayati binti Selamat, 54 (Perak) atau lebih mesra dipanggil Noryah apabila impian untuk bertentang mata dengan penyanyi kesayangannya, Mas Idayu tercapai malah turut muncul sebagai juara episod, melayakkan beliau untuk mewakili idolanya di pentas akhir Seiras Seirama kelak. Lebih manis apabila beliau turut berkesempatan untuk berduet bersama Ratu Dangdut Malaysia itu menerusi lagu ‘Selangit’.
Peminat otai wakili Mas Idayu ke pentas akhir SEIRAS Seirama
Seakan sudah sebati irama dangdut dalam diri, aksi Noryah jelas tidak kekok dan dibuat-buat. Meskipun usianya jauh berbeza dengan tiga peserta yang lain, itu bukan penghalang buatnya untuk memberi persembahan yang terbaik. Gaya memegang mikrofon yang unik dan gelek 45 darjah yang menjadi identiti Mas Idayu dilakukannya dengan cukup bersahaja sehingga mendapat pujian daripada penyanyi asal itu sendiri. Keyakinan serta kesungguhan beliau itulah yang menjadikannya lebih menonjol berbanding saingannya yang lain.
Mengulas mengenai episod Ikon Mas Idayu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, “Mengenali Mas Idayu, beliau merupakan seorang yang cukup tegas apabila membabitkan hal kerja. Malah, beliau pernah menjadi juri atau tenaga pengajar dalam beberapa program realiti nyanyian sebelum ini dan di antaranya adalah Kilauan Emas. Dengan pengalaman dan kredibiliti yang beliau miliki, saya percaya pemilihan Noryah sebagai juara episod sememangnya satu keputusan yang tepat.
Hanya tinggal satu lagi episod iaitu episod Ikon Faizal Tahir sebelum kita ke pentas akhir Seiras Seirama yang akan dipancarkan secara langsung pada 7 Februari kelak di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) pada waktu siaran yang sama, 9.00 malam. Melihat akan sambutan yang diterima terus meningkat dari minggu ke minggu, kami menjanjikan sebuah pentas akhir yang bakal memukau hati para penonton yang selama ini setia meraikan program Seiras Seirama ini”.
Pusingan ‘Caras Mencaras’ telah menyaksikan pertarungan sengit di antara Noryah dan Siti Zafirul Azzah Idris, 26 (Melaka) menerusi lagu ‘berhantu’ Mas Idayu, ‘Cintaku 100%’. Masing-masing tidak beri muka dan berusaha gigih untuk lebih menonjol berbanding saingan masing-masing. Azzah yang kelihatan agak pemalu ketika membuat persembahan ternyata memberi kelebihan kepada Noryah untuk menjadi lebih menyerlah, ditambah lagi dengan stamina tinggi yang dimilikinya ketika bergelek telah berjaya memikat hati Mas Idayu.
Turut bersaing bersama Noryah dan Azzah adalah Nur Shaziela Mohd Ismail, 18 (Perak) dan Sazlianti Misran, 24 (Sabah). Keempat-empat mereka membuka tirai Seiras Seirama episod Ikon Mas Idayu dengan mempersembahkan lagu yang popular sekitar tahun 1996, ‘Robek Hatiku’ dan berjaya memukau penonton dengan alunan vokal persis penyanyi dangdut kesayangan ramai itu ketika membuat persembahan di sebalik tirai.
Sementara itu, episod ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelawak terkenal tanah air, Saiful Apek dan Mas Idayu ‘junior’, Nur Dayini Asyiqah, 18, yang juga merupakan anak tunggal penyanyi itu. Dayini mencuri perhatian ramai dengan wajahnya yang saling tidak tumpah seperti ibunya.
Episod seterusnya merupakan episod Ikon Faizal Tahir yang juga merupakan episod terakhir sebelum masing-masing melangkahkan diri ke pentas akhir Seiras Seirama yang bakal bersiaran secara langsung dari Studio 1, Astro pada 7 Februari (Ahad) kelak.
Justeru, jangan lupa saksikan Seiras Seirama episod tujuh yang bakal menemui penonton pada hari Ahad (31 Januari 2016), jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Jangan ketinggalan!