PEMENTASAN SEMULA RAMLEEFESTASI MEMULAKAN PROJEK PENTAS BALIK
Sempena ulangtahun kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee
Setelah berjaya mementaskan Projek BB: Ramleefestasi pada Disember 2012, Revolution Stage sekali lagi akan mementaskan semula Ramleefestasi atas permintaan ramai. Kejayaan Ramleefestasi yang dipentaskan di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun lepas menjadi pemangkin bagi seluruh tenaga produksi mementaskan semula teater ini.
Teater yang mengambil karya agung P Ramlee iaitu babak tertentu dalam filem untuk dipentaskan mengikut kreativiti empat pengarah baru dibawah penyeliaan seorang pengarah artistik. Filem-filem P Ramlee yang sememangnya terkenal dengan isu-isu semasa dan satira yang evergreen atau malar segar dipentaskan berdasarkan babak-babak yang telah dipilih oleh para pengarah.
Pementasan ini membawakan satu bentuk dan suasana baru kepada filem-filem P Ramlee menerusi persembahan teater dan pada masa sama, mengetengahkan isu-isu tersirat yang masih lagi releven pada masa kini. Runut bunyi juga diambil dari filem-filem Tan Sri dan dimodenkan bersesuaian dengan tema pementasan manakala babak-babak filem yang dipilih disuntik dengan elemen moden, sejajar dengan susur masa pementasan iaitu pada era globalisasi 2013.
Kesemua empat pengarah berpendapat “Kami masih belum puas kerana pada pementasan lalu, ramai penonton yang tidak berpeluang menyaksikan pementasan ini kerana halangan tempat yang hanya mampu menampung jumlah penonton yang terhad” Kali ini, Ramleefestasi sebagai permulaan untuk projek ‘Pentas Balik’ oleh Revolution Stage akan dipentaskan di MORNE Art Gallery, Tingkat 10, Bangunan MARA, Jalan TAR, Kuala Lumpur.
Kolaborasi bersama MORNE Art Gallery (MAG) yang menyediakan tempat latihan dan pementasan dilihat sebagai satu usaha sama dalam menaikkan industri seni persembahan ‘indie’. Pementasan semula ini akan berubah wajah setelah menerima komen dan pendapat daripada orang ramai berkenaan pementasan yang lalu. Jadi, pementasan ini bukanlah hanya semata-mata pementasan semula kerana banyak elemen-elemen baru yang dimasukkan. Juga babak-babak yang diperkemaskan untuk penonton.
Pementasan semula Ramleefestasi akan mengekalkan Projek BB dan juga Beto Kusyairy serta Christina Suzzane sebagai penampilan istimewa. Turut membantu sebagai penyanyi latar adalah kumpulan musik yang menggelarkan diri mereka Pelangi Chenta.
Ramleefestasi akan berlangsung di MORNE Art Gallery, Tingkat 10, Bangunan MARA Kuala Lumpur bermula 21 hingga 24 Mac pada pukul 830mlm (21-24) dan ‘matinee’ pada pukul 3ptg (23 dan 24). Tiket berharga RM25. Untuk tempahan dan pembelian tiket pula, hubungi Arshad Adam di 017982 3272 atau Nik Afiq di 010760 3101.