Anak kedua kepada pelakon Lana Nodin, William Daud Mckienzie bakal menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini kerana masalah injap (Aortic Stenosis).
Menurut Lana, disebabkan itu juga dia jarang berkongsi gambar atau perkembangan William kepada peminat.
“Saya serba salah apabila ada yang bertanya mengenai William, ini kerana situasi kesihatannya.
“Begitupun tumbesaran William sangat positif apabila berat badannya naik dari 4 kilogram (kg) kepada 6 kg kini.
“William perlu diberi perhatian lebih terutama di dalam menjalani aktiviti harian, di mana dia perlu mengelakkan aktiviti lasak atau berat.
“Kalau pembedahan tidak dilakukan bimbang jantungnya harus bekerja keras dan apabila usia meningkat dia bakal mengalami masalah jantung bengkak,”
– Lana Nodin
Menurutnya, dia berkongsi masalah kesihatan yang dialami William, selain untuk menjelaskan kepada peminat mereka juga tidak menagih bantuan atau derma.
“Kalau ada yang mahu membantu, terima kasih saya ucapkan. Tetapi sebaiknya wang itu disalurkan ke tabung bantuan IJN kerana ada ramai lagi bayi dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan anda.
“Pada saya apa yang diperlukan daripada anda semua adalah doa supaya anak selamat menjalani pembedahan Isnin nanti,”
– Lana Nodin
Lana dan suaminya David Mckinzie atau nama Islamnya, Muhd Daud mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata yang diberi nama Gia Quinn Mckinzie dan William Daud Mckienzie.
Sumber: Harian Metro