Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 malam.
“Berdasarkan maklumat awal, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan terbaring di sebuah rumah di Batu 11 Jalan Lama Gombak, manakala kanak-kanak lelaki pula ditemui dalam keadaan lemah.
“Pihak ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian lelaki dan wanita terbabit yang juga suri rumah dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arifai berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa wanita itu sedang memandikan anaknya sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.
“Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan mangsa meminta tolong lalu bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, renjatan elektrik dalam kejadian itu dipercayai daripada alat pemanas.
“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Ahmad Syauqi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 12.01 tengah malam tadi.
“Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat tiga mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 30-an serta kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alat Pemanas Air Punca Kejadian
PEMAIN gitar profesional, Eddy Wan Othman meninggal dunia tengah malam tadi dipercayai terkena renjatan elektrik.
Berita sedih ini dimaklumkan oleh abangnya, Wan Razmie Wan Othman menerusi Facebook.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kedua Adinda saya, Wan Zunira (kiri) dan Eddy Wan Othman (kanan) sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.
“Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira kini di ICU selayang kerana terbabit sama,” tulisnya.
Wan Razmie berkata, kejadian berlaku ketika adiknya (Wan Zunira) memandikan anaknya.
“Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.
“Perginya seorang adik (Eddy) kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.
“Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adikku. Tugasan kalian di dunia dah berakhir. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua,” tulisnya.
Sepanjang kariernya, Eddy atau lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen kerap mengiringi persembahan artis-artis popular antaranya Datuk Hattan, Joey BPR dan ramai lagi.
Berita kematiannya mengejutkan ramai penggiat seni antaranya Datuk Hattan, To’ki, Joey BPR, Along Exists, Uchop Ahmad dan ramai lagi yang bertindak memuat naik ucapan takziah di dinding laman sosial Facebook masing-masing.
Jenazah Eddy dan kakaknya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, hari ini.