Dua pemain bola sepak remaja Malaysia berangkat ke London untuk berlatih di Padang Latihan QPR London melalui AirAsia-QPR Coaching Clinic
Ariff Saufi Abdullah dan Sahthyswaran Manoharn mewakili Malaysia untuk menjalani latihan intensif selama seminggu di padang latihan QPR
Dua bakat muda bola sepak dari Malaysia, Ariff Saufi Abdullah, 16 tahun dan Sahthyswaran Manoharn, 18 tahun berangkat menuju ke padang Loftus Road di Kota London untuk menyertai sesi latihan intensif istimewa bersama Queens Park Rangers pada 2-8 Mac 2016. Pemilihan mereka adalah berikutan sesi ‘AirAsia-QPR Coaching Clinic Tour’ yang telah berlangsung Disember lepas.
Mereka adalah sebahagian daripada lapan bakat muda bola sepak termasuk remaja yang dipilih dari klinik latihan yang diadakan di negara Thailand, Singapura dan China. Kesemua mereka diberi peluang pengalaman sekali seumur hidup untuk menjalani latihan di Akademi QPR, bertemu pasukan utama QPR serta menyaksikan perlawanan secara langsung antara QPR dan Derby County FC di Stadium Loftus Road.
Ariff Saufi merupakan ahli Kelab Bola Sepak Tunas Juara dan Sahthyswaran ahli Kelab Bola Sepak Dynamix telah dipilih daripada sejumlah 60 bakat muda bola sepak yang berumur diantara 14 – 17 tahun semasa ‘AirAsia-QPR Coaching Clinic Tour’ yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Disember 2015.
AirAsia adalah penaja rasmi bagi jersi QPR, dan telah giat menjalankan program outreach seperti klinik latihan bola sepak ini di sekitar rantau untuk memberi inspirasi dan mencungkil bakat-bakat bola sepak Asia di peringkat awal, disamping menyumbang kembali kepada komuniti dimana syarikat itu beroperasi.
Kesemua peserta siri klinik latihan ini akan mendapat peluang meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka di atas padang, mempelajari pelbagai kemahiran penting seperti manipulasi bola, teknik hantaran dan rembatan serta aspek taktikal lain permainan dari jurulatih QPR in the Community Trust.
‘AirAsia-QPR Coaching Clinic Tour’ adalah usaha bersama oleh AirAsia dan QPR in the Community Trust yang bermula pada tahun 2013, dan telah memberi manfaat kepada hampir 1,000 belia di seluruh Asia; memberikan atlet muda peluang untuk belajar daripada para jurulatih yang dikaitkan dengan sebuah kelab liga kejohanan Inggeris. Siri klinik latihan 2015 diketuai oleh Pengarah Kem QPR in the Community Trust, Martino Chevannes; bersama-sama empat lagi jurulatih QPR lain termasuk Danny Edwards, Alfie Ferguson, Alex Gordon dan Stephen McCarthy.
Ikuti perkembangan lapan pemenang ini menerusi laman social AirAsia di Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia), dan juga laman www.qpr.co.uk bagi liputan sepanjang minggu ini dari 2 hingga 8 Mac 2016.