Menurut sumber Utusan Malaysia, pelawak terkenal, Yassin dan keluarganya dikatakan enggan melunaskan sewa bulanan rumah yang diduduki di Damansara.
Akibatnya, selepas lima bulan bersabar, tuan rumah mengambil keputusan untuk mengunci rumah tersebut serta merta dan barang-barang rumah pelawak yang juga merupakan ahli kumpulan SYJ (baru tersingkir Maharaja Lawak Mega, minggu lalu) itu sudah dilelong akibat kegagalannya membayar sewa rumah.
Ekoran tindakan tuan rumah itu, Yassin dan keluarganya memang tidak sempat mengambil apa-apa barang dalam rumah tersebut.
Tuan rumah menyangkakan Yassin akan menghubunginya dan selepas itu untuk berbincang soal tunggakan yang bernilai lebih RM30,000, namun sangkaannya meleset.
Hanya selepas dua bulan, baru Yassin menghubunginya untuk bertanyakan mengenai barangan rumah yang ditinggalkan itu. Bagaimanapun, kelewatan Yassin itu hanya merugikannya memandangkan tuan rumah telah mengambil keputusan melelong semua barang-barang yang ditinggalkan.
Disebabkan tunggakan hutang Yassin, tuan rumah terpaksa menjual rumahnya sebelum pihak bank menyita kediaman jenis kondominium itu.
Daripada menanggung hutang yang berlambak, ada baiknya dia melelong isi rumah yang ditinggalkan, boleh juga dibuat duit belanja bayar itu ini walaupun jumlah yang diperoleh tidaklah seberapa.
Kepada Yassin, seelok-eloknya selesaikan hutang tersebut. Difahamkan sewa rumah itu hanya RM1,450 sebulan, mustahil untuk seorang pelawak terkenal seperti Yassin tidak mampu membayarnya?