Pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Pulau Indah, Klang, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Berita sedih itu disahkan anak bongsunya, Sazli Jamali,
“Bapa sudah tiada. Saya diberitahu arwah bapa menghembuskan nafas terakhirnya di atas katil.
“Insya-Allah, urusan pengebumian akan dipercepatkan. Berkemungkinan selepas Zohor atau Asar hari ini.
“Arwah bapa akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah,”
– Sazli Jamali
Perkara ini dimaklumkan oleh cucunya Isyraq Ariff Zalull Ariff, 31, kepada Harian Metro.
“Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian,”
– Isyraq Ariff Zalull Ariff
Terdahulu, keadaan Jamali uzur apabila tidak mampu berjalan dan kurang selera makan.
Jamali amat terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, sehingga membuatkan dia kemurungan. Allahyarham isterinya meninggal pada hari pertama Syawal selepas sebulan terlantar di hospital. Sebelum itu, Jamali diserang angin ahmar dan dijaga oleh isterinya sehingga pulih.
“Arwah nenek buat rumah di Pulau Indah, Klang ini dan rancang nak tinggal dengan datuk.
“Apabila rumah siap, nenek meninggal dan hanya jasadnya dibawa balik ke situ,”
– Isyraq Ariff Zalull Ariff
Apa yang berlaku membuatkan Jamali amat terkesan kerana segala jadual aktiviti seni dan kehidupannya sebelum ini diuruskan oleh isterinya.
“Selepas itu… dia macam termenung dan khayal. Rumahnya bersebelahan dengan rumah bapa saudara saya, Fauzi dan mereka menjaganya,”
– Isyraq Ariff Zalull Ariff
Arwah ketika itu bagaikan hilang semangat, banyak berdiam dan terpaksa bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri.
Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor, mempunyai lapan anak dan 39 cucu.
Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.
Arwah yang cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ pada era 1980-an juga kurang selera makan.
“Tak Pernah Lawaknya Mencarut…”- Aznil Kenang Pemergian Datuk Jamali Shadat
Pengacara tersohor, Datuk Aznil Hj Nawawi akui amat terkesan dengan pemergian pelawak veteran yang cukup terkenal, Datuk Jamali Shadat yang telah meninggal dunia pagi tadi.
Membesar dengan karya seni Allahyarham yang juga pemain karakter Atan itu, Aznil memuji caranya berjenaka yang pasti turut menyelitkan mesej yang berguna.
“Saya membesar dengan lawak beliau. Dalam lawak beliau pasti ada mesej yg berguna utk penonton dia jadikan panduan,”
– Datuk Aznil Hj Nawawi
Aznil atau dikenali dengan panggilan Pak Nil berkongsi luahan hati tersebut di akaun Instagram miliknya pagi tadi.
Tambah Pak Nil lagi, meskipun arwah berjenaka dalam persembahannya namun tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat atau tidak baik.
“Tak pernah lawaknya mencarut atau dua makna. Yang herannya masih tetap lucu dan buat orang ketawa.
“Inilah keunikan Datuk Jamali Shadat. Innalillahiwainnailaihirojiun. AlFatihah,”
– Datuk Aznil Hj Nawawi
Pelawak ‘stand up’ komedi popular itu meninggal dunia pada 8.30 pagi, hari ini.
Terdahulu, keadaan Jamali uzur apabila tidak mampu berjalan dan kurang selera makan.
Jamali amat terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, sehingga membuatkan dia kemurungan.
Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.
Jamali Shadat Enggan Disuap Makanan
Jenazah pelawak veteran Datuk Jamali Shadat, 78, selamat dikebumikan pada jam 4.15 petang hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Indah, Klang, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Jenazahnya disolat di Masjid Ar-Rahman, Pulau Indah. Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran keluarga dan saudara-mara terdekat yang dihadkan kehadiran akibat penularan Covid-19.
Anaknya Fauzi Jamali, 49, berkata, sejak malam tadi bapanya menolak apabila disuapkan makanan.
“Anak saya tidur di bilik sebelah menemani datuknya tapi dia tak perasan apa-apa yang berlaku pagi tadi.
“Sekitar jam 8 pagi, isteri saya datang ke rumah bapa untuk kejutkan dia dan mandikan serta bagi sarapan. Dia dapati bapa tak bangun apabila dikejutkan dan terus menghubungi saya,”
– Fauzi Jamali
Fauzi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir membantu menguruskan jenazah bapanya.
Fauzi berkata, apabila sampai dia mendapati bapanya sudah meninggal dunia dan dia terus menghubungi kakitangan perubatan untuk bantuan.
“Sebaik tiba mereka buat pemeriksaan dan mengesahkan bapa sudah meninggal dunia,”
– Fauzi Jamali
*Sumber: Harian Metro
Ramai Selebriti Terkesan Dengan Pemergian Dato Jamali Shadat
Hari ini industri hiburan tanah air kehilangan seorang lagi bintang berbakat besar apabila berita mengenai pemergian pelakon dan pelawak terkenal Allahyarham Dato Jamali Shadat diumumkan pagi tadi.
Rata-rata para penggiat dunia seni dan hiburan berasa amat sedih tentang berita ini dan ramai juga yang sempat berkongsi perasaan mereka bersama kami di Getaran.
“Allahyarham merupakan sebab saya memasuki bidang komedi dahulu dan meminati penceritaan berkomedi. Pada saya beliau adalah bapa ‘stand-up comedy’ di Malaysia. Penceritaannya menyentuh semua yang mendengar. Selain itu beliau juga benar-benar menyepadukan imej rakyat Malaysia dengan mewujudkan watak-watak berbilang kaum dalam setiap persembahannya.”
“Saya sendiri tidak terkecuali dan masih ingat kali pertama datuk saya memberikan saya piring hitam yang mengandungi rakaman Bakat TV tahun 1971 yang mengandungi babak lawak kemenangannya di mana beliau mempopularkan watak Atan, seorang kanak-kanak ‘ciptaannya’. Itu benar-benar memberi kesan pada saya dan saya tak akan lupakan saat itu.”
“Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk mengangkat martabatnya sebagai seorang seniman tetapi kita semua sibuk dan terlupa untuk mengiktiraf sumbangannya ke tahap yang lebih tinggi. Saya harap akan ada satu wadah di mana semua karyanya boleh diabadikan supaya generasi akan datang terus mengenali dan menghargai sumbangannya,” kata Dato Afdlin Shauki, Ketua Eksekutif Petra Studios.
Perasaan kagum pada bakatnya juga dikongsi pelakon dan penyanyi Dato Yusry Abdul Halim yang sempat bekerja dengan Allahyarham.
“Saya rasa terkesan sebab Dato Jamali Shadat merupakan pelawak dan pelakon yang saya kagumi. Masih ingat menonton beliau di kaca TV semasa saya kecil dan kagum dengan skill ventriloquism (kebolehan memindah percakapan atau suara pada boneka) beliau. Watak Atan pun masih di ingatan. Saya dapat peluang shooting bersama beliau dalam filem Mr. Cinderella dan kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila. Beliau antara pelawak yang ada daya penarik buat pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa,” jelas Yusry tika dihubungi.
Penyanyi dan pelakon wanita berbakat, Adibah Noor juga seseorang yang meminati Allahyarham.
“Masa kecil dulu saya memang selalu berangan hendak menjadi bakat alih suara untuk genre komedi kerana saya memang suka menjiwai watak-watak kartun, jadi beliau memang menjadi inspirasi buat saya sejak dahulu lagi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin,” ulas Adibah mengenai pemergiannya.
“Sebenarnya Allahyarham Dato Jamali Shadat salah seorang juri asal pusingan Raja Lawak sebelum saya melangkah ke Raja Lawak musim pertama dulu. Jadi saya agak terkesan dengan kehilangan ini. Beliau sempat melihat bakat-bakat peserta yang ingin menjadi sepertinya.”
“Berita pemergiannya buat saya terkejut pagi ini. Sebenarnya saya dah lama berniat nak melawat beliau sewaktu uzur tapi keadaan pandemik ini tak mengizinkan. Saya ucapkan takziah untuk keluarganya dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat,” jelas pelakon, pengacara dan pelawak popular Zizan Razak.
Terkenal Sehingga Seberang Tambak
Allahyarham juga terkenal di kalangan komuniti Melayu di Singapura yang berkesempatan menonton aksinya dalam beberapa filem popular lakonannya.
Menurut penyanyi, komposer dan penulis lirik kelahiran Singapura Imran Ajmain, kebanyakan generasi muda Melayu Singapura biasanya mengenali ramai seniman Malaysia yang popular sekitar tahun 80-an dan 90-an. Ini termasuklah Allahyarham Dato Jamali Shadat.
“Semasa membesar di Singapura pada tahun 80-an dan 90-an, stesen TV berbahasa Melayu kami memang akan memainkan filem-filem lama termasuk rancangan hitam putih berkali-kali. Jadi secara tidak langsung kami sering ‘diperkenalkan semula’ dengan ramai seniman Malaysia.
Dato Jamali Shadat sendiri tidak asing lagi bagi kami. Apatah lagi di awal kemunculannya pada hujung 70-an dan awal 80-an konsep ‘stand-up comic’ itu masih sesuatu yang sangat baru dalam industri hiburan Melayu sedangkan beliau menjadi pelopor kepada konsep tersebut di arena seni kita sehinggakan lawak-lawaknya dirakam dalam piring hitam untuk semua menikmatinya. Kita boleh menyamakan tarafnya seperti para pelawak solo di Barat yang tampil di Live at Apollo dan seumpamanya.
Sudah tentu beliau paling diingati kerana kebolehannya meniru loghat bangsa lain di samping membuat suara bernada tinggi dan sebagainya. Pemergiannya benar-benar satu kehilangan yang besar,” jelas Imran.
Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Juara Gegar Vaganza tahun 2019, Hady Mirza yang juga pemenang Asian Idol kelahiran Singapura.
“Bakatnya memang unik. Jarang kita dapat menemui bakat seni sepertinya yang mampu meniru suara dan sebagainya, apatah lagi dari zaman hitam putih itu. Saya rasa belum ada yang dapat mengganti tempatnya. Biarpun membesar di Singapura saya sudah tentu pernah menontonnya di TV dan mendengar karyanya di radio. Saya ucapkan takziah kepada semua ahli keluarganya yang terlibat,” kata Hady ketika dihubungi pihak Getaran.
*Sumber: Getaran, 3 Februari 2021.
Belasungkawa: Atan Sudah Tiada’
Semalam, bintang veteran yang tegar membudayakan jenaka muhibah sejak menguasai pentas lawak pada era 1970-an, menghembuskan nafas terakhir.
Utuh dengan karakter Atan dan Atuk, Allahyarham Datuk Jamali Shadat akhirnya pergi meninggalkan legasi seni pada usia 78 tahun, di kediaman anaknya di Pulau Indah, Klang, pada jam 8.30 pagi.
Selama 46 tahun mencipta kemasyhuran, terutama di pentas stand-up comedy, Allahyarham Jamali dianggap ikon dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan keunikan dimiliki rakyat negara ini sebagai bangsa Malaysia.
Karakter Atan, iaitu kanak-kanak degil suka mengusik Atuk yang dibawanya di pentas, paling diingati selain watak kanak-kanak Cina dan India yang dihidupkan bersahaja.
Pernah dilaporkan, Allahyarham Jamali menyatukan kaum Melayu, Cina dan India yang ketika itu dilanda tragedi banjir besar, melalui jenakanya pada era 1980-an.
Allahyarham bijak menjadikan isu semasa, terutama hubungan antara kaum sebagai bahan jenaka dan menyampaikannya dengan gaya, intonasi serta ekspresi wajah cukup memikat, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Ketika ditemuramah BERNAMA, Jamali atau mesra disapa Pak Jamali menjelaskan, kebolehan mengajuk pelbagai bahasa diperoleh selepas banyak bercampur dengan sahabat daripada pelbagai kaum sejak zaman kanak-kanak.
“Saya boleh ajuk bahasa India kerana pernah bekerja di estet suatu ketika dahulu. Bahasa Mandarin pula kerana pernah bekerja dengan majikan Cina di sebuah kedai runcit.
“Saya boleh bercakap Jawa sebab memang orang Jawa, ayah dan datuk saya keturunan Jawa,” katanya.
Menyorot perkembangan kesihatan Pak Jamali, bulan lalu arwah dilaporkan semakin uzur dan kurang selera makan.
Malah, pada penghujung usia, Jamali lebih banyak bergantung kepada drip untuk memasukkan air ke dalam tubuh bagi mengelak dehidrasi.
Sejak pemergian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang bagaikan hilang semangat.
Begitu utuh cinta arwah terhadap isteri dan kasih sayang disemai dalam ikatan perkahwinan mereka yang diserikan dengan kehadiran lapan anak serta 39 cucu.
Sehingga ke akhir usia, arwah lebih banyak berdiam dan bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri.
Anak bongsu arwah, Sazli mengaku bapanya cukup komited dengan kerjaya seni dan setiap perkara dilakukannya.
“Perkara utama saya perhatikan, arwah mengutamakan ketepatan masa. Arwah sangat disiplin dan ini diturunkan kepada anak dan cucunya.
“Ayah juga menjadikan elemen keharmonian dan perpaduan dalam berlawak. Arwah membentuk kesefahaman kami sekeluarga dalam hidup berjiran.
“Ketika menetap di Klang, arwah mengajar hidup harmoni dan berjiran. Kebetulan di kawasan itu, ada orang India dan Cina. Arwah selalu tekankan soal kemuafakatan tanpa mengira warna kulit dan bangsa,” katanya kepada BH Online.
Sazli teringat ketika kecil sering menemani arwah membuat persembahan.
“Sehingga nama Atan lekat pada saya. Orang kampung dan teman sekolah memanggil saya Atan,” katanya.
Berkongsi kesedihan atas pemergian teman baik, pelawak veteran, Hamid Gurkha, 88, yang terkilan tidak dapat menatap wajah sahabatnya buat kali terakhir.
“Saya ralat tidak dapat melawat arwah ketika hayatnya. Saya juga uzur, hendak menziarah di kubur arwah juga tidak upaya. Memang tak larat bergerak ke sana-sini, ditambah pula dengan COVID-19 ini,” katanya.
Hamid yang mengalami masalah pendengaran, menyifatkan arwah insan baik hati.
“Selama kami berkawan, tiada perkara yang arwah buat menyakitkan hati. Tidak pernah sentap atau bergaduh sesama kami. Saya bersyukur Allah pertemukan sahabat sejati sepertinya.
“Pada usia 88 tahun ini, ingat saya yang pergi dulu. Tapi kawan rapat saya lebih dulu meninggalkan dunia ini,” katanya.
Hamid atau nama sebenar, Abdul Hamid Abdul Rahman antara teman seperjuangan arwah ketika memulakan karier dalam dunia seni pada 1970-an.
Hamid atau mesra disapa Pak Hamid teringat kenangan manis bersama sama ketika mula membina nama.
“Ada kalanya, arwah naik kereta saya menuju ke lokasi membuat persembahan. Begitulah sebaliknya. Arwah tidak pernah berkira.
“Kami sempat rakam album. Tidak silap saya, antara empat atau lima album bersama,” katanya yang menghasilkan album sketsa Jenaka Pilihan Jamali Shadat dan Hamid Gurkha terbitan Life Records.
Sementara itu, pelawak, pengarah dan pelakon veteran, AR Badul cukup menyenangi keperibadian arwah.
“Saya pernah menawarkan watak sebagai Tok Kadi kepada arwah dalam filem Hantu Siang. Biarpun hanya sebabak, kelibat arwah dalam babak itu menjadi antara yang ‘havoc’.
“Arwah tidak cakap banyak dan tidak suka mengata orang lain. Arwah pernah berpesan, hidup jangan berpecah-belah,” katanya.
Badul berkata, arwah, Sabri Yunus dan Jalil Hamid dianggap perintis program komedi di stesen televisyen (TV).
“Konsep one man show arwah tanpa bergantung orang lain menjadi bukti dirinya insan kreatif. Aksi dan keletah arwah dengan lontaran suara kanak-kanak, selain kebolehan mengajuk pelbagai bahasa, terbukti hebat.
“Arwah banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum, malah menyatukan rakyat dalam jenakanya,” katanya
Namun, Badul kesal bakat pelawak veteran bagai terus dilupakan.
“Dalam hati tertanya sendiri, mengapa, 10 tahun lalu ketika arwah masih aktif, tiada stesen TV memberi slot kepadanya.
“Lumrah hidup, saat seseorang masih hidup, dilupakan. Ketika sudah bertemu Allah, mula ada yang memberi liputan kepadanya,” katanya.
Sementara itu, pelawak Ebby Yus menyifatkan pemergian arwah kehilangan besar kepada industri seni.
“Tidak ramai pelawak boleh berjenaka seperti arwah. Beliau tebal dengan sikap merendah diri sejak mula menjadi pelawak hingga ke sisa hidup.
“Ketika saya kecil, arwah dan Pak Hamid pernah membuat persembahan di kampung saya di Batu Kikir, Negeri Sembilan.
“Ketika itu, saya teruja dapat melihat persembahan mereka di depan mata,” katanya.
Jenazah Allahyarham Jamali disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang, petang semalam.