Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan melaksanakan Sidang Media dan Pelancaran Aktiviti Seni Budaya JKKN bagi bulan November 2011 yang akan disampaikan oleh YBhg Dato’ Norliza Rofli – Ketua Pengarah JKKN pada hari esok, 3 November 2011 (Khamis) di REDBOX @ THE GARDENS, Lot FF203 – 205 Fourth Floor, The Gardens, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur jam 4.00 petang.
Sidang Media ini akan membentangkan enam (6) lagi acara Seni Budaya yang dilaksana dan dikelolakan oleh JKKN termasuk program Pelancongan berasaskan Budaya yang dianjurkan bersama KPKK dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Enam (6) acara besar tersebut adalah seperti Syarahan Eksekutif Perdana Budaya oleh YABhg. Tun Dr, Mahathir Mohammad pada 10 November 2011, Festival Kesenian Peribumi Malaysia pada 11 dan 13 November 2011, Siri Semarak Bangsawan Merong Mahawangsa pada 18 hingga 20 November 2011, Festival Gong Antarabangsa di Bau, Sarawak pada 18 hingga 20 November 2011, Festival Kesenian Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur pada 18 hingga 20 November 2011 serta Konsert Latin Jazz in Choir pada 25 dan 26 November 2011 di Auditorium DBKL.