Pereka pentas persembahan Sufian Suhaimi di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33), The Calla tidak menjangkakan rekaan mereka untuk lagu Di Matamu itu mencuri perhatian ramai sehingga menjadi tular.
Perekanya, Mohd Firdaus Othman berkata, dia bersama kumpulannya menyediakan rekaan untuk pentas dan mendapat persetujuan daripada Sufian.
“Kami mengambil inspirasi daripada persembahan Celina Dion menerusi lagu My Heart Will Go On di satu acara anugerah yang menggunakan lampu chandelier dan tirai langsir sebagai prop.”
“Untuk pelamin itu, kami bina untuk sesuaikan dengan jalan cerita lagu Di Matamu dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pelamin lain. Kalau ada pun, ia secara kebetulan,”
– Mohd Firdaus Othman
Menurut Firdaus, menjadi tugas pihaknya sebagai kumpulan pereka untuk menyediakan idea terbaik.
“Kami juga mendapat kelulusan daripada pihak TV3 yang mahukan rekaan pentas yang ‘straight forward’ dan tidak berkias-kias.
“Jadi, dengan menggunakan pelamin sebagai salah satu elemen, orang faham bahawa lagu itu berkisar mengenai kegagalan dalam percintaan,”
– Mohd Firdaus Othman
Ditanya sama ada pihaknya menjangkakan bahawa rekaan pelamin itu akan dikaitkan dengan pelamin majlis perkahwinan pelakon, Elfira Loy yang juga bekas kekasih Sufian, Firdaus menegaskan sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Kami tak jangkakan ia akan dianggap sedemikian. Seperti yang saya katakan, ia kebetulan,”
– Mohd Firdaus Othman
Persembahan Sufian menerusi lagu Di Matamu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik di AJL33.
The Calla sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti apabila dilantik sebagai perancang majlis serta pelamin antaranya Anzalna Nasir, Yuna dan Siti Saleha.
Sumber: Harian Metro