[dropcap]S[/dropcap]edar tak sedar, hari ini sudah pun hari ke-3 kita berada di tahun 2013. Adush, boleh percaya ke tak ni? Rasa macam sekejap je. Tup tup dah 3 Januari. Kiranya, lagi 3 hari untuk kita ketahui lagu mana yang akan jadi juara segala lagu di Anugerah Juara Lagu 27.
Petang kelmarin, Budiey telah pun mengambil 20 keping tiket AJL27 untuk diberikan kepada 10 orang pembaca menerusia Peraduan Menangi Tiket AJL27. Hari ini, Budiey akan menghubungi kesemua pemenang. Yang menang, pastinya bertuah sebab bernasib baik terpilih di kalangan lebih 350 emel yang Budiey terima. Bukan mudah nak menang. Budiey pun agak susah nak pilih sebab slogan korang memang best dan kreatif semuanya. Di antara segala slogan yang kreatif tu pulak, Budiey telah pilih pemenang secara cabutan undian dengan menggunakan laman web Random Dot Org. Haa, nasib baik ada laman web Random. Kepada pemenang yang Budiey hubungi hari ini, Budiey dahulukan ucapan tahniah dan bertemu kita di Anugerah Juara Lagu 27.
Budiey dari semalam lagi telah menghubungi pihak TV3 untuk bertanyakan siapakah penyanyi yang akan menyanyikan lagu Yuna Zarai, Terukir Di Bintang. Lantaran, Yuna tak dapat nak perform lagu tu sebab terikat dengan rakaman lagu di Amerika Syarikat, jadi kita harapkan penyanyi yang terpilih tu, boleh menggalas tugas dan ada kredibiliti dari segi vokal yang sesuai dengan lagu. Bukannya dari kroni mana-mana pihak.
[dropcap]B[/dropcap]erpindah kepada tajuk utama hari ini… berita tentang pelakon filem Anak Pontianak yang juga model seksi lagi suka bikin kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah dan ditangkap bersama teman lelakinya dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan memiliki dadah tiga hari lepas.
Zarina dan teman lelaki yang bernama Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, kedua-duanya berusia 27 tahun bagaimana pun [highlight]mengaku tidak bersalah[/highlight].
Berita penuh dipetik dari Harian Metro bertarikh 3 Januari 2013:
Pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie dan rakan lelakinya dihadapkan ke ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.6 gram, tiga hari lalu.
Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul dan rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, masing-masing berusia 27 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nazri Omran.
Mengikut pertuduhan, pelakon drama bersiri ‘Anak Pontianak’ itu dan Mohamad Fakhruzaim didakwa bersama-sama memiliki dua pil Eramin 5 seberat 0.6 gram.
Mereka didakwa memiliki bahan terlarang itu di sebuah rumah beralamat Nombor C-3-10 Armanee Condominium, Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, di sini, pada jam 5.30 petang, 30 Disember 2012.
Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zarina yang memakai baju-T berwarna kelabu dan berseluar merah jambu tenang ketika pertuduhan dibacakan kepadanya. Terdahulu, pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Bukhari Wan Mohd menawarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM6,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah kerana mereka masih belajar di kolej swasta.
Seorang rakan wanita kepada Zarina hadir menjaminnya dan mengaku dirinya pemilik kondominium di Damansara Damai itu, namun mahkamah tidak membenarkan dia mengikat jamin tertuduh atas alasan mereka tiada pertalian keluarga. Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM2,000 dengan syarat penjamin daripada ahli keluarga dan sebutan ditetapkan pada 8 Februari ini.
Sehingga jam 4 petang semalam, tiada ahli keluarga aktres itu tampil menjaminnya dan dia dibawa ke Kompleks Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Mohamad Fakhruzaim membayar wang ikat jamin RM2,000 itu menerusi abangnya dan dibenarkan pulang.