SELEPAS 10 hari dibenarkan pulang, pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya, Kuswadi Bujang, 74, sekali lagi dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan usus kecil.
Sebelum ini, selama hampir sebulan, Kuswadinata atau lebih mesra dipanggil Pak Kus, menjalani rawatan di HKL akibat masalah prostat. Isteri Pak Kus, Kamariah Mohd Said berkata, suaminya masih lemah selepas dimasukkan ke wad.
“Dia baru saja keluar daripada HKL pada raya kelima. Namun, Selasa lalu, berlaku pendarahan pada usus kecilnya. Dalam keadaan cemas saya menghubungi ambulans, doktor mengesahkan dia mengalami ulser pada usus kecil,” katanya kepada HIP.
Selain penyakit itu, pelakon era 1950-an itu mengalami masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar buang air kecil secara normal.
Kamariah berkata, masalah suaminya itu mungkin berpunca daripada kanser yang dihidapinya pada 2008.
“Suami saya pernah menjalani pembedahan akibat kanser usus dan dipercayai penyakit itu melarat pada buah pinggangnya. Doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.
“Jika dulu, dia berpeluang menjalani rawatan kemoterapi mungkin penyakitnya tidak melarat. Sekarang sebelah buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala sebelah lagi makin membengkak,” katanya.
Kamariah berkata, sejak dimasukkan ke hospital, suaminya tidak pernah dikunjungi mana-mana wakil persatuan seni. Sumber: Berita Harian
Kuswadinata Bersama Isteri hadir di satu anugerah