Pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, yang dilaporkan tenat menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati di kediamannya di Alam Damai Cheras, jam 6.35 petang ini.
Berita pemergiannya disahkan anak keduanya, Zarith Abu Bakar kepada BH Online.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah, Allah SWT lebih menyayanginya.
“Ibu, adik beradik dan menantu berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir. Hanya menantu yang bertugas di Kemboja sahaja tiada.
“Arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, jam 10 pagi, esok,”
– Zarith Abu Bakar
Aktor berasal dari Taiping, Perak itu menderita penyakit kanser hati sejak 2016. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon filem Matinya Seorang Patriot itu bebas cengkaman kanser.
Selepas disahkan bebas kanser, arwah mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam. Bagaimanapun, awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit menyerang semula, malah lebih agresif hingga sudah merebak ke hati.
Abu Bakar Juah mendirikan rumah tangga dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980 meninggalkan seorang balu, empat anak dan seorang cucu. Drama terakhir lakonannya Mr Grey pada 2018.
Abu Bakar Juah Meninggal di Sisi Isteri & Anak-Anak
“SAYA sempat menziarahi arwah dua hari lalu. Keadaannya memang sudah tenat,” kata penyanyi, Aris Ariwatan mengenai pemergian pelakon veteran yang juga sepupunya, Abu Bakar Juah, 72, jam 6.35 petang hari ini.
Aris ketika dihubungi berkata, Allahyarham meninggal dunia di sisi isteri, Rusidah Mohd Yassin dan empat anaknya di kediaman mereka di Alam Damai, Cheras.
Aris berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai jam 10 pagi esok.
“Seluruh keluarga sudah reda dengan segala kemungkinan. Pemergian arwah satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan. Arwah banyak mewarnai drama dan filem tempatan dan setiap naskhah yang dibawakan pasti meninggalkan impak tersendiri,”
– Aris Ariwatan
Allahyarham sebelum ini dilaporkan tenat selepas dibenar keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak lebih dua minggu lalu.
Sebelum ini, pelakon filem Matinya Seorang Patriot dan Dukun itu disahkan menghidap kanser usus pada 2016.
Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada kanser. Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.
Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit kanser kembali menyerang, malah lebih agresif hingga merebak ke hati.
Abu Bakar yang juga bekas Pengarah Penjara Taiping itu meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak.
Drama terakhir yang pernah dibintanginya ialah Mr Grey pada 2018.