Pelakon Jerman terkenal, Christian Oliver, bersama dua anak perempuannya, Madita (10 tahun) dan Annik (12 tahun), dilaporkan terkorban dalam nahas pesawat ringan di perairan kepulauan Caribbean pada hari Khamis lalu.
Pesawat tersebut, yang membawa bintang filem seperti Speed Racer dan Valkyrie, berlepas dari Lapangan Terbang F Mitchell di Becquia, sebuah pulau kecil di St. Vincent dan Grenadines (SVG).
Christian Oliver dan anak-anaknya dikatakan dalam perjalanan menuju ke pulau berhampiran, iaitu St Lucia, ketika pesawat itu mengalami kesukaran dan terhempas ke laut tidak lama selepas berlepas. Nahas tersebut juga meragut nyawa pemilik dan juruterbang pesawat, seorang lelaki Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Robert Sachs.
Laporan dan rakaman video orang awam yang berada di pesisir pantai menunjukkan pesawat dalam keadaan menjunam sebelum terhempas ke laut.
Penyelam dan nelayan tempatan dari Ladang Paget di pulau kecil Bequia turut bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan, menurut kenyataan Polis Diraja SVG.
Christian Oliver, yang pernah menerima pujian untuk lakonannya dalam filem Sense8, Inspector George Gently, The Baby-Sitters Club, hingga Saved by the Bell: The New Class, dikenali sebagai seorang pelakon berbakat dalam industri perfileman Hollywood sejak tahun 1990-an hingga 2020-an.