“Saya malu…” Begitulah tajuk berita yang dipaparkan dalam Harian Metro hari ini (16 Oktober). Pelakon Qazim Nor akan bernikah pada 20 Oktober (Sabtu) ini. Dan sepatutnya dia dan bakal isteri mendapat satu tajaan penuh untuk majlis resepsi yang berlangsung pada hari yang sama.
Namun, pihak penaja Mawex Sdn Bhd yang juga penganjur Malaysia Wedding Expo 2012 telah menarik diri dan membatalkan penajaan atas alasan masalah kewangan.
“Saya dihubungi penaja jam 6.30 petang, 12 Oktober yang lalu memaklumkan mereka membatalkan segala penajaan dengan alasan tidak cukup wang untuk menampung segala kos. Saya sangat kesal, kecewa dan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan dan berasa sangat tertipu. Sebagai selebriti, maruah saya dijatuhkan berikutan majlis pernikahan pun semakin hampir dan kad undangan juga sudah diedarkan. Jadi, ia mendatangkan masalah cukup besar kepada saya.”
Selain itu, mereka juga menjanjikan saya pakej bulan madu ke Bali,” kata pelakon yang telah 9 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan ni kepada Harian Metro.
Qazim juga memaklumkan pernah hadir di majlis sidang media diadakan penaja terbabit berhubung pelantikannya sebagai duta dan penganjuran program Malaysia Wedding Expo 2012 di MIECC pada 18 Julai lalu dan artikel mengenainya disiarkan di akhbar New Straits Times pada 27 Julai lalu.
Qazem telah mengadakan pertemuan dengan pihak Seniman dan sidang media berhubung perkara ini akan dibuat esok di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) jam 3 petang.
Disebabkan malu dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tersebut, Qazem telah membuat laporan polis pada 14 Oktober lalu dan berniat untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak terbabit sebagai satu pengajaran buat mereka. Katanya, tindakan undang-undang diambil sebagai pengajaran kepada pihak penganjur yang tak bertanggungjawab dan menjadikan selebriti sebagai mangsa.