Pelakon dan pengarah Majed Saleh menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit jantung pagi tadi.
Berita pemergian pengarah filem Syaitan Munafiq itu disahkan adik ipar arwah yang juga penyanyi Shiha Zikir menerusi hantaran dalam Instagram.
Pada hantaran berbeza, penyanyi itu turut memaklumkan berasa seperti tidak percaya apabila berdepan dengan berita duka tersebut.
Terdahulu, arwah Majed, 65, yang juga pelakon drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad dilaporkan kritikal apabila fungsi jantungnya tinggal 25 peratus sahaja pada Jun lalu.
Allahyarham menjalani pembedahan memasang perentak jantung di Hospital Serdang pada bulan yang sama.
Sekitar Julai lalu pula, Allahyarham dimasukkan ke hospital sekali lagi selepas mengalami lemah jantung dan beberapa masalah kesihatan lain.
Isterinya, Nur Shida Mohd Zikir, 43, memaklumkan suaminya dikejarkan ke Hospital Selayang kerana keadaan jantungnya lemah dan badannya bengkak sehingga menjejaskan fungsi hati serta buah pinggang.
Ketika hayatnya, Majed pernah menjadi pengarah Gerak Khas selain membintangi filem Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Bara dan Lembing Awang Pulang ke Dayang.